Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
MESYUARAT KE 2 AHLI JAWATANKUASA PIBG SK INTAN BAIDURI 

Tarikh : 29 April 2017
Hari : Sabtu
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Bilik Gerakan SK Intan Baiduri
Agenda : 
  1. Ucapan Alu-Aluan Pengerusi
  2. Ucapan Guru Besar
  3. Mengesahkan Minit Mesyuarat Yang Lalu
  4. Perkara Berbangkit
  5. Laporan Kewangan
  6. Hal-Hal Lain
SUMBANGAN PEMBELIAN PERALATAN PASUKAN CATUR SK INTAN BAIDURI

26 April 2017 - Pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri telah berbesar hati untuk menyumbangkan tunai kepada pasukan Catur SK Intan Baiduri untuk pembelian penambahan peralatan catur mereka (set pertandingan catur dan jam) dalam menghadapi pertandingan peringkat Sekolah Rendah Zon Sentul bagi tahun 2017.

Ini merupakan sumbangan kedua untuk dua tahun berturut-turut dimana tahun lepas, buat pertama kalinya pihak SK Intan Baiduri telah menubuhkan pasukan catur murid untuk menghadapi pertandingan KPM dimana seorang pemain telah layak mendapat kedudukan 12 pemain terbaik dan seterusnya mewakili Zon Sentul dalam pertandingan peringkat negeri Wilayah Persekutuan.

Pada tahun ini, kontinjen lebih besar, sebanyak 16 pemain akan dihantar untuk pertandingan yang sama. Semoga dengan pendedahan murid kepada permainan ini akan merangsangkan pemikiran mereka untuk fokus dan berfikir secara aras tinggi.
PENAJAAN PORTAL ILEARNACE OLEH YAYASAN BANK RAKYAT

20 April 2017 - Pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri telah menerima 29 login id portal Ilearnace daripada Yayasan Bank Rakyat untuk kegunaan 29 orang anak-anak tahun 6 SK Intan Baiduri yang telah memohon menyertai program dibawah e-KL.



Pada nilai RM350 per pengguna, PIBG SK Intan Baiduri ingin mengucapkan penghargaan jutaan terima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat atas tajaan mereka yang bernilai RM 10,150.

Semoga dengan penambahan sumber ilmiah ini dapat membantu anak-anak tahun 6 ini mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR 2017.
TAHNIAH CIKGU HALIMI

19 April 2017 - Saya, Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria mewakili seluruh Ahli Jawatankuasa PIBG SK Intan Baiduri sesi 2017/2018 ingin mengucapkan tahniah kepada Penolong Bendahari Kehormat PIBG SK Intan Baiduri, Cikgu  Mohd Halimi Bin Mat Dalep serta pasangannya Suhaidi Binti Mamat, kerana telah selamat menimang cahaya mata mereka pada hari ini.

Semoga kasih sayang dan rezeki keluarga ini akan bertambah.
SUMBANGAN KLIP PAIP GETAH TANDAS

17 April 2017 - Pada hari ini, PIBG telah menerima sumbangan sebanyak 30 klip paip getah tandas daripada En Romie Bin Khalid untuk digunapakai di setiap tandas di SK Intan Baiduri.


Diharapkan anak-anak SK Intan Baiduri tidak menyalahgunakan klip yang dipasang dan memastikan kebersihan serta keceriaan tandas sentiasa terjaga.
KARNIVAL S.T.R.E.A.M. SK INTAN BAIDURI 2017

15 April 2017 - Pada hari ini telah berlangsungnya Karnival S.T.R.E.A.M. (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematic) SK Intan Baiduri 2017 di Dataran SK Intan Baiduri Kuala Lumpur.

Program anjuran bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Intan Baiduri dan Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan (KKGK) SK Intan Baiduri, telah dibantu oleh Rakan Perkongsian Pintar iaitu Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul, Malaysian Association of Creativity and Innovation (MACRI) dan National STEM Movement.



Secara keseluruhannya, objektif dan matlamat karnival telah mencapai sasaran. Program ini berjaya dijadikan teras untuk membangunkan kemenjadian murid-murid dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS). Ianya juga telah memberi pendedahan kepada Guru, Murid, Ibu Bapa dan Komuniti sekeliling mengenai Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik.

Hasilnya, dua program sekolah telah dijadualkan diadakan pada bulan Mei ini iaitu Program Bersama Fakulti Sains (STEM) UPM  pada 18 Mei 2017 manakala pada 20 Mei 2017, satu rombongan bas murid akan mengikuti Program Pencerapan Awam : Musytari / Jupiter pada malam hari di Perkarangan Planetarium Negara Kuala Lumpur. Beberapa program juga masih dalam perbincangan dengan pempamer yang terlibat untuk membuat program susulan.

Terima kasih diucapkan kepada Perasmi Puan Hjh Noorlia Binti ArshadPenolong Pegawai Pendidikan (Kaunselor Organisasi) merangkap Pegawai Sekolah Angkat SK Intan Baiduri dan para jemputan Encik Zainoddin Bin Ramelan, Pengerusi Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul serta Encik Ramesh Pillai, Setiausaha Eksekutif, Malaysia Association of Creativity & Innovation merangkap wakil National STEM Movement kerana telah turut sudi hadir.

Terima kasih diucapkan kepada pempamer dari Chumbaka Asia, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Fakulti Sains (STEM) UPM, Ardent Educational Consultants Sdn Bhd, Muafakat Sentul, Jabatan Pertanian Putrajaya, Gifted Children Network, D Nasuha Enterprise dan Panah Lagenda. Ada diantara mereka yang telah memberi sokongan kuat kepada kami sejak 2014 lagi.

Terima kasih juga diucapkan kepada penaja-penaja kami iaitu Pusat Pakaian Hari-Hari, Planetarium Negara, Envision Sdn Bhd, BSN, Mydin Selayang, Y&L  Electrical, Kedai Perabut, Puan Salwiah, Puan Mariam, Puan Maznah serta lain-lain yang tidak ingin disebutkan nama. Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa anda semua.

Tak lupa juga, tulang belakang yang menjayakan karnival ini iaitu para pentadbir SK Intan Baiduri, Guru Besar Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, GPK-GPK, Guru-Guru, AJK PIBG, Ibu Bapa dan 30 orang ALUMNI SK Intan Baiduri yang telah berusaha seminggu lebih awal membantu persiapan dan sebagainya. Anda semua adalah terhebat.

Oleh : Zaifusham Ahmad Zakaria, YDP PIBG SK Intan Baiduri.


  

 

 

 

 

 

 

 

 

  

 

 

 

    


 

 

 


HARI INTERAKSI GURU BERSAMA IBU BAPA / PENJAGA MURID TAHUN 2017


PROGRAM e-KL : TRAIN OF TRAINERS

12 April 2017 - Untuk tahun ke 3 berturut-turut, PIBG SK Intan Baiduri telah mendapat penajaan Program e-KL (sebelum in dikenali sebagai e-Bandaraya) di bawah  anjuran Local Agenda 21 KL dan Yayasan Bank Rakyat.

Seramai 27 anak-anak tahun 6 SK Intan Baiduri telah menghantar permohonan untuk mengikuti Program e-KL ini yang akan mengadakan beberapa aktiviti  sepanjang tahun untuk menyediakan mereka menghadapi peperiksaan UPSR bagi tahun 2017.

Untuk permulaan, pada hari ini, telah berlangsung e-KL : Program Train of Trainers dalam pelaksanaan Program iLearn SASBADI bagi tahun 2017. Ianya dijalankan di Perpustakaan Serambi Ilmu Rakyat, Yayasan Bank Rakyat, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, dari pukul 9.00 pagi - 2.00 petang.

Objektif program ini untuk melatih guru-guru sekolah terlibat dalam e-KL agar lebih memahami penggunaan perisian iLearn yang akan diberikan kepada murid-murid tahun 6 yang terlibat.

Guru-guru yang mewakili SK Intan Baiduri adalah Cikgu Rohayati Binti Ghazali dan Cikgu Mayasari @ Idawanie Binti Omar.




SUMBANGAN PERISIAN OAESIS JOB INTEREST INVENTORY KEPADA UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING SK INTAN BAIDURI

12 April 2017 - Untuk memantapkan khidmat kaunseling kepada anak-anak SK Intan Baiduri, PIBG SK Intan Baiduri telah sudi menyumbangkan tunai untuk pembelian perisian OAESIS JOB INTEREST INVENTORY kepada Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) SK Intan Baiduri.

Perisian ini digunakan untuk sokongan khidmat Kaunseling Kerjaya Abad ke 21. Oleh itu, diharapkan dengan pembelian perisian ini, UBK dapat lebih saintifik serta teratur memantau minat kerja dan laluan kerjaya anak-anak SK Intan Baiduri.

Sebagai permulaan, perisian ini akan digunakan sewaktu Karnival S.T.R.E.A.M. pada 15 April 2017.



LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE 
FOREST RESEARCH INSTITUTE MALAYSIA (FRIM) KEPONG

11 April 2017 - Pada hari ini telah berlangsung lawatan sambil belajar anjuran PIBG SK Intan Baiduri yang pertama bagi tahun 2017. Seramai 34 murid tahun 4 hingga 6 telah mengikuti program ini dengan diiringi oleh Cikgu Rebecca Anak Nira (Setiausaha Kehormat PIBG), Cikgu Robiatul Adawiyah Binti Saad (Penolong Setiausaha Kehormat PIBG), Cikgu Zainun Binti Yahya (AJK Guru PIBG) serta Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria.

Rombongan telah disambut oleh Pn Norain Binti Mohd Arif dari Unit Komunikasi Korporat. Para peserta telah dibahagi kepada 2 kumpulan dan setiap kumpulan di bawa kepada 3 kawasan iaitu Makmal Ujian Perabot, Makmal Anatomi Kayu dan Galeri Xylarium, satu-satunya  di Malaysia yang menempatkan lebih daripada 10,000 spesis kayu dari seluruh dunia.

Murid-murid turut juga diberi penerangan oleh para penyelidik yang hadir dan diketuai oleh Dr Khairul Bin Awang. Di Makmal Ujian Perabut, murid-murid berpeluang melihat bagaimana perabut kayu yang siap oleh pembekal telah dihantar untuk diuji oleh satu-satunya makmal di Malaysia yang mengeluarkan pensijilan keselamatan perabut. Di Makmal Anatomi Kayu pula, murid-murid didedahkan bagaimana penyelidik mengenali spesis-spesis kayu dengan beberapa proses ujian serta melihat sendiri penggunaan kanta pembesar dan alat mikroskop. 

Terdapat lebih daripada 30 makmal berada di kawasan FRIM. Semoga lawatan lanjutan ke makmal lain dapat diadakan pada masa hadapan untuk pendedahan awal akan fungsi FRIM serta kerjaya yang ada.

Terima kasih juga diucapkan kepada Ketua Unit Komunikasi Korporat, Norhayati Nordin, kerana telah sudi meluluskan program lawatan sambil belajar ini.


Nota : Oleh kerana kawasan lawatan adalah kawasan terhad, penggunaan kamera tidak dibenarkan.
KHEMAH IBADAH SK INTAN BAIDURI 2017

7-9 April 2017 - Buat julung kalinya, Khemah Ibadah SK Intan Baiduri 2017 telah diadakan diluar kawasan sekolah. D'sawah Bendang Homestay, Sg Besar, Selangor telah menjadi tuan rumah kepada 40 murid SK Intan Baiduri serta guru-guru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Program anjuran Panitia Pendidikan Islam ini yang diketuai oleh Ustaz Mohd Azwadi Bin Maktar, telah berlangsung selama 3 hari 2 malam dengan pengisian agama serta interaksi dengan persekitaran suasana kampung, sesuai dengan moto 'Mantap Aqidah, Sempurna Ibadah, Cemerlang Akhlak'.

PIBG SK Intan Baiduri juga membantu dengan memberi sumbangan tunai untuk menampung kos perbelanjaan.

Pada hari kejadian, turut hadir menyokong sesi-sesi yang dijalankan adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Pn Sakinah Binti Awang @ Umar dan Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria.

Yang Di Pertua PIBG juga telah sudi merasmikan Majlis Penutupan serta menyampaikan hadiah kepada para peserta yang cemerlang.

 

 
 
 

 

  

 

 

 


Info

Info