Salam Intan Baiduri, Ibu adalah Intan, Bapa adalah Baiduri. PIBG SK Intan Baiduri mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang telah menghantar anak-anak mereka untuk menjadi murid SK Intan Baiduri bagi tahun 2019. Peningkatan pendaftaran bagi tahun ini menunjukkan bahawa SK Intan Baiduri kini menjadi pilihan atas usaha sekolah dan PIBG untuk menjadikan SK Intan Baiduri sebagai Sekolah Contoh akan Pelibatan Ibu Bapa & Komuniti (PIBK) dalam Kemenjadian Murid dan Pemerkasaan Guru. Bagi tahun 2019, pelbagai cabaran yang perlu dihadapi samada dari segi penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan malah perubahan organisasi dalaman sekolah bermula dengan 1. Masalah kesihatan Guru Besar kita, Tuan Haji Ahmad Fuad bin Ahmad, 2. Perpindahan dan kenaikan pangkat GPK Hal Ehwal Murid, Puan Sakinah binti Awang @ Umar, 3. Perpindahan 3 orang guru iaitu Cikgu Mohd Halimi bin Mat Dalep, Cikgu Mohd Saleh bin Din serta Cikgu Rohayati binti Ghazali. 4. Penstrukturan pertukaran kakitangan sokongan yang akan melibatkan 4 kakitangan sekolah. Namun PIBG SK Intan Baiduri akan terus membantu sekolah dalam menyusun dan merangka program-program mantap dan cemerlang agar kejayaan pada tahun 2018 dapat diteruskan pada masa hadapan. Semoga warga SK Intan Baiduri (Ibu Bapa, Guru, Alumni dan Komuniti) tahun ini dapat memberi sokongan yang padu agar matlamat untuk kecemerlangan Kemenjadian Murid dan Pemerkasaan Guru akan tercapai. Sekian. Terima Kasih. YDP PIBG SK Intan Baiduri 5 Januari 2019
MAJLIS ASPRESIASI ALUMNI 2018
28 November 2018 - Pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri dengan kerjasama Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri telah mengadakan Majlis Aspresiasi Alumni SK Intan Baiduri di Homestay (Surau Lama) Blok D, PPR Intan Baiduri. Objektif majlis adalah untuk menyampaikan sijil penghargaan pada alumni yang telah menjadi sukarelawan semasa Karnival Sains Ria dijalankan serta merapatkan ukhwah dan merancang untuk aktiviti tahun hadapan. Turut hadir adalah Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri, Encik Abd. Rashid bin Abd Samad, Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad serta barisan guru yang memantau alumni SK Intan Baiduri iaitu Cikgu Mohd Halimi bin Mat Dalep, Cikgu Mohammad Ikhram bin Aziz dan Cikgu Wan Mohd Syahril bin Wan Abd Rahman.
Alhamdulillah lebih daripada 60 alumni telah dapat hadir. Majlis dimulakan dengan jamuan makanan tengahari. Selepas selesai menjamu selera, pengacara majlis menjemput Guru Besar SK Intan Baiduri untuk memberi ucapan. Ianya diikuti oleh ucapan dari Yang DiPertua PIBG dan ucapan dari Pengerusi Persatuan Penduduk.
Seterusnya, Yang DiPertua PIBG telah sudi menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan Karnival Sains Ria. Mengambil kesempatan akan kehadiran semua, 6 orang wakil alumni bersama Guru Besar, Yang DiPertua dan Pengerusi telah duduk semeja untuk berbincang mengenai perancangan aktiviti alumni seterusnya. Majlis berakhir dengan sesi bergambar.
Semoga dengan usaha yang telah dirancangkan ini akan menjadi manfaat kepada pelbagai pihak terutama PIBG, sekolah dan alumni serta komuniti PPR Intan Baiduri.
KARNIVAL SAINS RIA 2018
SK INTAN BAIDURI KALI KE 2
10 November 2018 - Sempena sambutan Hari Sains Sedunia pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri bersama dengan Kelab Kebajikan Guru & Kakitangan SK Intan Baiduri dan Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul telah menganjurkan Karnival Sains Ria 2018 SK Intan Baiduri di Dataran SK Intan Baiduri mulai pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Jika tahun lepas, Karnival ini disambut secara berasingan iaitu sambutan Karnival STREAM diadakan pada bulan Mei manakala Hari Sains Sedunia disambut pada bulan November, maka pada kali ini, kedua-dua program ini digabungkan untuk memberi impak yang lebih berkesan. SK Intan Baiduri juga melancarkan hab ke 2 sekolah dibawah inisiatif Koridor STREAM PIBG SK Intan Baiduri iaitu Digital Maker Hub Champion School yang disumbangkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). SK Intan Baiduri adalah satu-satunya sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah dipilih oleh MDEC dari 22 sekolah terpilih seluruh Malaysia. Hab pertama iaitu Bilik Tenaga Hijau telah dilancarkan pada 17 November 2017. Karnival 2018 ini juga telah ditambahbaik iaitu memasukkan aktiviti pertandingan dengan menjemput sekolah lain untuk turut serta.
Untuk memeriahkan majlis, antara jemputan yang hadir adalah Puan Zainun binti Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan, Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul mewakili Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Sofia Akmal binti Abu Bakar, Pengurus Kanan, K-12, Talent & Digital Entrepreneurship, Malaysia Digital Economy Coperation (MDEC), YM Raja Abd Rahman bin Raja Omar dari Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK) mewakili Muafakat Sentul dan Encik Chan Chon How, Pengurus Besar, BRAINet (M) Sdn Bhd.
Kesemua pentadbir sekolah turut hadir iaitu Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad, Guru Besar, Puan Norizan binti Mahmud, GPK Tadbir & Kurikulum, Puan Sakinah binti Awang @ Umar, GPK Hal Ehwal Murid dan Puan Kasmah binti Ismail, GPK Kokurikulum. PIBG pula telah diwakili oleh Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri. Puan Zainun telah sudi merasmikan karnival dengan melancarkan roket air sebagai gimik perasmian, manakala untuk perasmian Digital Maker Hub, ianya telah dirasmikan oleh Puan Zainun bersama Puan Sofia dengan memotong reben di pintu utama hab.
Karnival telah berjalan dengan amat meriah dengan sokongan kuat dari komuniti dan warga SK Intan Baiduri. Komuniti terbaharu yang memberi sokongan adalah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) Kementerian Pendidikan Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Pintar Foundation. Alumni juga telah memecah rekod sukarelawan tahun lepas iaitu 40 orang dengan kehadiran secara langsung 65 orang alumni untuk membantu melancarkan penganjuran karnival tahun ini.
Alhamdulillah, objektif penganjuran untuk menyediakan karnival 'fun learning' dan 'hands on' ini telah tercapai melalui : 1. Pernyataan Timbalan Pengarah Pendidikan PPWS, MDEC, EPRD dan rakan komuniti untuk sentiasa memberi sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam menggalakkan program seumpama ini.
2. Pelancaran Bilik Digital Maker Hub @ SK Intan Baiduri Champions School hasil penajaan MDEC membuka peluang kepada warga SK Intan Baiduri untuk pengajaran dan pembelajaran alaf ke 21.
3. Penyediaan Bilik Tenaga Hijau pada tahun lepas telah terbukti berkesan dimana sekolah tahun ini telah mencapai pelbagai kejayaan secara langsung dan momentum kejayaan ini telah menjadi magnet kepada aktiviti lain sehingga ke peringkat kebangsaan.
4. Kehadiran sekolah-sekolah dari yang terdekat SK St Mary sehinggalah SJKC Kung Man dari Serdang Selangor membuktikan bahawa SK Intan Baiduri boleh menjadi hab atau sekolah rujukan kepada sekolah lain.
5. Sokongan Ibu Bapa dalam mengukuhkan Institusi Kekeluargaan serta membentuk budaya sayang menyayang dan mengambil berat Kemenjadian Anak mereka dengan turut serta dalam beberapa pertandingan yang diadakan khas untuk anak dengan ibu bapa.
6. Penonjolan dan mencungkil bakat muda dalam seni tarian / nyanyian dan pertandingan serta menanam semangat sukarelawan dapat membentuk diri anak-anak untuk cemerlang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sahsiah (JERIS).
Terima kasih diucapkan kepada ajk PIBG yang telah membantu terutama Puan Azian dan Encik Devan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa terutama Puan Wan Rosni dan yang lain-lain kerana telah memberi sumbangan tenaga untuk menjaga dan mempamerkan aktiviti pibg.
Terima kasih diucapkan kepada Kelab Kebajikan Guru & Kakitangan SK Intan Baiduri terutama Cikgu Halimi, Cikgu Ikram dan Cikgu Maya kerana menjadi tunjang pada pelaksanaan karnival ini. Tak lupa kepada para pentadbir sekolah yang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad serta Alumni SK Intan Baiduri yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan sukarelawan.
Terima kasih juga kepada Muafakat Sentul, Planetarium Negara, DBKL cawangan Batu, EPRD, PPWS, MDEC, Pintar Foundation, FRIM, PTS Publishing, BRAINet (M) Sdn Bhd, adik Farabi juara Bintang Kecil WPKL, SK St Mary, SMK St Mary, SK Seri Murni, Evoria yang menyediakan peralatan riadah, trak makanan, penyedia gerai makanan dari KKGK, Kantin dan ibu bapa. Tanpa sokongan mereka, karnival ini tidak akan berjalan semeriah ini. Usaha PIBG SK Intan Baiduri sejak 2016 untuk menanam budaya 'moonshot thinking' dikalangan warga SK Intan Baiduri telah berjaya menaikkan semangat warga sekolah untuk cemerlang dalam pelbagai bidang pada peringkat yang lebih tinggi. Sains a.k.a. STREAM telah dilancarkan sebagai magnet. Semakin jauh 'roket' STREAM ini bergerak maka semakin kuat magnet ini akan menarik persekitarannya untuk bergerak selari. Fenomena ini telah dapat dilihat melalui kejayaan dan program 'first' dibuat pada tahun 2017 yang ada kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan sains yang telah membentuk aura persekitaran sekolah yang positif. Dengan pelancaran Digital Maker Hub akan melihat SK Intan Baiduri melangkah dengan lebih jauh lagi. Semoga usaha ini diteruskan selaras dengan motto PIBG iaitu 'Merealisasikan Kecemerlangan Pendidikan Kebangsaan'.