Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK PIBK
PERINGKAT WILAYAH SENTUL

26 Oktober 2017 - Pada hari ini telah berlangsung Perkongsian Amalan Terbaik PIBK Peringkat Wilayah Sentul yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul bersama Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul di Pusat Konvensyen HGH, Sentul. Kesemua wakil-wakil sekolah rendah dan menengah Wilayah Sentul telah hadir untuk mendengar dan melihat 5 pembentangan dan 5 pameran dari sekolah-sekolah yang terpilih. 


 

 



PIBG SK Intan Baiduri mengucapkan terima kasih kepada PPWS kerana telah memberi penghormatan kepada sekolah untuk terlibat sama dalam mempamerkan amalan PIBK yang telah dijalankan bagi tahun 2017.

Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat : Guru Besar Tn Hj Ahmad Fuad, GPK HEM Pn Sakinah, Ketua Penyelaras Pn Azwa, Cikgu Ezalinda, Cikgu Rebecca, Cikgu Robiatul, Cikgu Halimi, Cikgu Ikram, Cikgu Izzuddin, Pn Mariam, En Latif, En Hashim dan lain-lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Terima kasih juga pada bantuan yang diberikan oleh Rakan Komuniti SK Intan Baiduri : BRAINet (M) Sdn Bhd dan Nomhaz Maju Sdn Bhd, yang sentiasa menyokong segala usaha PIBG.
MEMO PERSEFAHAMAN ANTARA
PIBG SK INTAN BAIDURI DENGAN BRAINet (M) SDN BHD

11 Oktober 2017 - Pada pagi ini telah disempurnakan memo persefahaman antara PIBG SK Intan Baiduri dengan BRAINet (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat peneraju produk pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics).


 





Persefahaman ini ditandatangani oleh Yang DiPertua Encik Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, mewakili PIBG SK Intan Baiduri, manakala BRAINet (M) Sdn Bhd diwakili oleh Pengurus Besarnya, Encik Chan Chon How. Turut hadir Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Hj Ahmad Fuad Bin Hj Ahmad.

Dengan termeterainya persefahaman ini, BRAINet telah bersetuju untuk menjadi Rakan Komuniti Utama dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pendidikan berunsurkan STEM bersama PIBG SK Intan Baiduri untuk warga SK Intan Baiduri. SK Intan Baiduri juga akan dijadikan sebagai hab utama sekolah-sekolah di Zon Sentul khasnya dan Wilayah Persekutuan amnya serta komuniti setempat.

Semoga dengan adanya perancangan jangkamasa panjang oleh PIBG SK Intan Baiduri ini akan membantu meningkatkan kesedaran pendidikan STEM di kalangan murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat serta mencapaikan hasrat untuk menjadikan PIBG SK Intan Baiduri sebagai pendokong pelaksanaan STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematics).
SOKONGAN KOMUNITI : PUSAT PAKAIAN HARI-HARI SDN BHD
PELAKSANAAN PROGRAM PENGEDARAN BAUCER DISKAUN 10% BAGI MENJANA TABUNG PIBG/SEKOLAH 2017/2018

10 Oktober 2017 - Kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan Program Pengedaran Baucer Diskaun 10% Bagi Menjana Tabung PIBG/Sekolah 2014/2015, SK Intan Baiduri pada tahun ini telah menerima sekali lagi Baucer Diskaun 10% Bagi Menjana Tabung PIBG/Sekolah 2017/2018.

Objektif pemberian baucer ini adalah untuk memberi diskaun sebanyak 10% atas pembelian barangan Pusat Pakaian Hari-Hari oleh warga SK Intan Baiduri serta tabungan PIBG sebanyak 3% atas jumlah kutipan jualan tersebut.



Pengedaran baucer kepada ibu bapa akan dibuat semasa Hari Interaksi SK Intan Baiduri yang bakal diadakan pada 17 November 2017. Semoga pemberian baucer ini dapat mengurangkan beban kepada warga SK Intan Baiduri dalam persediaan perbelanjaan sekolah anak-anak bagi tahun 2018.
PENYAMPAIAN SUMBANGAN BARANGAN DAPUR DIBAWAH
PROGRAM DASAR WARGA EMAS NEGARA DAN KELUARGA ASNAF

10 Oktober 2017 - Pada pagi ini, PIBG SK Intan Baiduri dan Unit Bimbingan & Kaunseling SK Intan Baiduri telah mengadakan Penyampaian Sumbangan Barangan Dapur di bawah Program Dasar Warga Emas Negara dan Keluarga Asnaf. Sebanyak 25 Warga Emas dan Keluarga Asnaf telah terpilih untuk menerima sumbangan yang ditaja oleh Pejabat Parlimen Batu dan Syarikat Nomhaz Maju Sdn Bhd.

Perlaksanaan penyampaian ini juga melibatkan murid-murid Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SK Intan Baiduri dimana objektifnya adalah memberi pendedahan awal kepada mereka akan prinsip sukarelawan dan dermawan.


 

 


Majlis telah dipengerusikan oleh Guru Bimbingan & Kaunseling, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria manakala penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria. Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Hj Ahmad Fuad Bin Hj Ahmad, Setiausaha PIBG Cikgu Rebecca Anak Nira, Cikgu Zaliha Binti Othman dan Cikgu Yahya Bin Lazim. 


 

 

Terima kasih juga diucapkan kepada Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri kerana telah membantu melancarkan perlaksanaan penyampaian serta Puan Syarifah Salwiah Binti Syed Mohammad, Ahli Jawatankuasa PIBG SK Intan Baiduri dan rakan-rakannya kerana telah mendapatkan penajaan.
PASCA UPSR : TAKLIMAT KERJAYA - JURUTERBANG DAN USAHAWAN

3 Oktober 2017 - Susulan kepada sesi Taklimat Sekolah Menengah dan Perimeter Kerjaya yang diadakan pada 27 September 2017, pada hari ini PIBG SK Intan Baiduri telah menjemput 2 orang tokoh kerjaya iaitu Encik Hafiz Bin Hisan, seorang juruterbang dari Syarikat MAS dan Encik Norazman Bin Mohamad, seorang usahawan pengilang yang berjaya.

Program ini dipengerusi oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Intan Baiduri, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria dan dimoderator oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria. Turut hadir mendengar penyampaian taklimat adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Haji Ahmad serta guru-guru dan murid-murid tahun 6.


Kesimpulan dari taklimat En Hafiz adalah jika kita hendak membuat sesuatu, perlulah dibuat secara bersungguh-sungguh dan sehingga lengkap. Kejayaan tidak datang menggolek. Usaha perlu dimulakan dari sekolah, samada dari segi akademik mahupun kokurikulum kerana ianya amat membantu dalam mencapai impian masing-masing.



Manakala En Norazman menekankan bahawa pada zaman ini, kita tidak boleh menjadi pengguna sahaja. Kita perlu menjadi pencipta dan berani untuk menghadapi risiko jatuh bangun. Ilmu pengetahuan dan amalan agama juga penting untuk dijadikan panduan dalam kelangsungan kehidupan.



Keseluruhannya, 4 ciri perimeter kerjaya iaitu bakat, minat, personaliti dan pencapaian telah ditonjolkan oleh kedua-dua tokoh tersebut. Semoga murid-murid tahun 6 ini akan mendapat iktibar dan ilham dari penyampaian mereka.

Program ini diakhiri dengan penyampaian cenderhati kepada kedua-dua tokoh.  



 
PERSEMBAHAN JEMPUTAN SAMBUTAN 1MALAYSIA di SK ST MARY

30 September 2017 - Pada hari ini telah berlangsung Majlis Sambutan 1Malaysia yang dianjurkan oleh SK St Mary di Dewan Utamanya. Kumpulan Simfoni Rentak Tari SK Intan Baiduri turut dijemput untuk membuat persembahan.

 



Kumpulan ini yang terdiri daripada murid-murid tahun 4 dan 5 telah dilatih oleh Cikgu Sh. Intan Baiduri Binti Syed Mohd Bakhir dan diurus oleh Pengurus, Cikgu Rebecca Anak Nira dan Penolong Pengurus, Cikgu Siti Nadiah Binti Ahmad.

PIBG SK Intan Baiduri turut menyumbang wang tunai untuk persediaan peralatan tarian. Tahniah juga diucapkan kepada Kumpulan Simfoni Rentak Tari SK Intan Baiduri kerana telah memberi persembahan yang mantap.


PASCA UPSR : TAKLIMAT SEKOLAH MENENGAH DAN PERIMETER KERJAYA

27 September 2017 - Pada pagi ini telah berlangsung sesi Taklimat Sekolah Menengah dan Perimeter Kerjaya yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Intan Baiduri untuk murid-murid tahun 6.

Sesi 2 jam ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu penerangan mengenai sekolah-sekolah menengah yang ada di Malaysia yang disampaikan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria. Beliau menerangkan kriteria pemilihan dan senarai sekolah-sekolah MRSM, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kluster, Sekolah Harian, Sekolah Agama, Sekolah Sukan dan Sekolah Teknikal. 



Bahagian kedua pula disampaikan oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria iaitu bagaimana hendak memohon sekolah yang sesuai dengan perimeter kerjaya setiap murid-murid. 4 perimeter kerjaya adalah : Bakat, Minat, Personaliti dan Pencapaian.

Satu tip utama yang disampaikan oleh beliau adalah "Kita perlu ada Cita-Cita". Jika ada cita-cita maka bolehlah kita lihat kesesuaian kita berdasarkan keempat-empat perimeter kerjaya dan seterusnya memilih jurusan dan sekolah yang perlu kita pohon. 

UPSR BERMULA

11 September 2017 - Pada hari ini bermulanya peperiksaan UPSR bagi tahun 2017. Sebagai langkah menyokong segala usaha guru-guru dan murid-murid selama 8 bulan ini, untuk sepanjang tempoh peperiksaan UPSR, PIBG SK Intan Baiduri turut menyumbang sebanyak RM500 untuk penyediaan sarapan murid tahun 6 agar mereka dapat menghadapi peperiksaan dengan keadaan yang tenang dan sedia.


 

Ibu bapa yang hadir juga turut dibenarkan berada di dalam dewan utama untuk bersama-sama dengan anak masing-masing agar dapat memberikan motivasi dan semangat terakhir. Iringan doa juga dilakukan dan diketuai oleh Cikgu Mohd Azwadi Bin Maktar sebelum murid-murid ini berangkat ke bilik peperiksaan.

Turut diadakan bacaan yasin oleh ibu bapa serta guru-guru di dewan utama, sambil menunggu anak-anak ini menghadapi peperiksaan.

Semoga usaha yang dijalankan ini mendapat barakah pada anak-anak untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
MAJLIS RESTU GURU-GURU TERHADAP MURID-MURID TAHUN 6 
SEMPENA PEPERIKSAAN UPSR 2017

8 September 2017 - Setelah selesai Majlis Solat Hajat dan Majlis Restu Ibu Bapa semalam, pada pagi ini, yang merupakan hari terakhir persekolahan sebelum peperiksaan UPSR minggu hadapan, telah diadakan Majlis Restu Guru-Guru pula terhadap 78 murid-murid tahun 6 ini.

Penyampaian kata-kata motivasi dan restu dimulakan oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria dan diikuti oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Haji Ahmad serta guru-guru tahun 6. 


  


Seterusnya, murid-murid tahun 6 bersalaman dengan semua guru-guru yang hadir menandakan berakhirnya tugas guru-guru memberi didikan ilmu sepanjang 8 bulan ini serta bermulanya untuk murid-murid ini membuktikan pada guru-guru hasil usaha guru selama ini dengan menjawab dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti.

Sumbangan alatulis oleh Kedai Buku SK Intan Baiduri turut disampaikan kepada semua murid-murid tahun 6.
MAJLIS SOLAT HAJAT DAN RESTU IBU BAPA TAHUN 6
SEMPENA UPSR 2017

7 September 2017 - Pada petang ini telah berlangsung Majlis Solat Hajat dan Majlis Restu Ibu Bapa Tahun 6 sempena persediaan terakhir untuk murid-murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR 2017 yang akan berlangsung pada 11 - 14 September 2017. Majlis dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SK Intan Baiduri.



Majlis bermula pada pukul 6.30 petang dengan bacaan yasin yang diketuai oleh Cikgu Mohd Azwadi Bin Maktar, KP Pendidikan Islam SK Intan Baiduri. Seterusnya solat maghrib diimamkan oleh Encik Arif Bin Mat Salleh, salah seorang bapa murid tahun 6 yang hadir pada malam itu.



Selesai sahaja solat maghrib, tazkirah disampaikan oleh Jemputan Khas Ustaz Abd Aziz bin Disa, Penolong Pengarah Pengurusan Pengembangan Syiar Islam dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan diikuti dengan solat Isyak.




Majlis diakhiri oleh Cikgu Rohayati Binti Ghazali yang mengetuai Majlis Restu Ibu Bapa oleh ibu bapa terhadap anak masing-masing agar mereka dapat barakah dalam menjawab serta mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.


 

Majlis hari ini, turut dihadiri Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Haji Ahmad, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria, guru-guru, ibu bapa, murid-murid tahun 6 serta keluarga masing-masing.

Jamuan turut disediakan sebelum majlis bersurai.

Info

Info