Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PENYEWAAN LOKER 2017

Penyewaan loker telah dibuka untuk tempoh 8 bulan iaitu 1 Mac 2017 hingga 31 Oktober 2017. Loker akan ditempatkan di kelas murid untuk memudahkan mereka menyimpan dan mengambil semasa pembelajaran.

Perlu dimaklumkan bahawa tiada paksaan kepada penyewaan ini. Kemudahan ini disediakan kepada ibu bapa / murid yang inginkan kotak penyimpanan yang lebih besar serta berkunci untuk barangan mereka.

Para ibu bapa / murid wajib faham serta mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan di dalam borang penyewaan.  Jika ada pelanggaran terma dan syarat secara serius, PIBG tidak akan teragak-agak membatalkan penyewaan loker.

Sila rujuk kepada Guru Kelas atau Cikgu Mohd Halimi Bin Dalep untuk pertanyaan atau bayaran. Borang boleh di muatturun di sini.
SUKAN DAN REKREASI MINGGUAN
(SETIAP SABTU DARI PUKUL 9 PAGI HINGGA 12 TENGAHARI)

PIBG SK Intan Baiduri telah bekerjasama dengan Alumni SK Intan Baiduri untuk menganjurkan sukan dan rekreasi mingguan mulai 4 Mac 2017 pukul 2 petang hingga 5 petang di Dataran SK Intan Baiduri.

Tujuan program ini adalah untuk menyediakan tempat yang bersesuaian serta di kawal selia oleh abang-abang dan kakak-kakak alumni supaya adik-adik dapat dilatih sesuatu sukan atau rekreasi dengan lebih teratur.

Antara sukan dan rekreasi yang dicadangkan adalah :
  1. Sukan - Bola Baling, Bola Jaring, Futsal, Sepaktakraw dan Bola Tampar.
  2. Rekreasi - Catur, Kompang, Ukulele dan Tarian
Sebarang persoalan boleh dikemukakan kepada YDP PIBG En Zaifulsham Ahmad Zakaria (whatsapp/sms 012-2998660), manakala bayaran boleh dibuat pada Cikgu Mohd Halimi Bin Dalep. 

Borang boleh di muatturun di sini.
KELAS MEMANAH TRADISIONAL

PIBG SK Intan Baiduri telah bekerjasama dengan Panah Legenda Enterprise (https://www.facebook.com/panahlagenda) untuk menganjurkan kelas Memanah Tradisional mulai 4 Mac 2017 pukul 2 petang hingga 4 petang di Dataran SK Intan Baiduri.

Dengan pengalaman luas pengasas Panah Legenda En Mohd Nasrul Bin Kamarulzaman, sebagai Setiausaha Persatuan Memanah Tradisional Malaysia serta mewakili Malaysia dalam kejohanan Antarabangsa (Turki, China dan Hungary sejak 2013), diharapkan para peserta kelas ini akan dapat manafaat serta menjalankan latihan secara sistematik dan teratur.

Sebarang persoalan boleh dikemukakan kepada YDP PIBG En Zaifulsham Ahmad Zakaria (whatsapp/sms 012-2998660), manakala bayaran boleh dibuat pada Cikgu Mohd Halimi Bin Dalep. 

Borang boleh di muatturun di sini.


MAJLIS RAMAH MESRA HI-TEA BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN KOMUNITI

25 Februari 2017 - Pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Hi-Tea Bersama Pemimpin-Pemimpin Komuniti. Program yang bermula dari pukul 5.30 petang hingga 6.30 petang telah diadakan di Bilik Media dan Pusat Sumber SK Intan Baiduri.

Pada perjumpaan sulung ini, telah menghasilkan pertemuan 5 pihak iaitu :

  1. SK Intan Baiduri diketuai Guru Besar Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, GPK Tadbir & Kurikulum Pn Norizan Binti Mahmud dan GPK Hal Ehwal Murid Pn Sakinah Binti Awang @ Umar.
  2. PIBG SK Intan Baiduri diketuai YDP En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria dan NYDP En Azamudin Bin Zainudin.
  3. Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri diketuai Pengerusi En Abd Rashid Bin Abd Samad.
  4. Persatuan Penduduk Fasa 3 Kampung Melayu FRIM diketuai Pengerusi Tan Sri Othman Bin Abd Razak.
  5. Jawatankuasa Surau Al-Hijrah PPR Intan Baiduri diketuai Timbalan Pengerusi En Nasir Bin Sali.
 

 

  

Bertempat di Bilik Media, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YDP PIBG En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria sebelum diserahkan kepada Guru Besar Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad untuk memperkenalkan para pentadbir dan guru yang hadir. Kemudian YDP dan Guru Besar telah menerangkan program-program PIBG serta sekolah yang telah dan akan dijalankan pada tahun 2017. 

Majlis diteruskan dengan soaljawab dan diakhiri dengan penyampaian sumbangan Al-Quran tajaan PTS. Namun, oleh kerana wakil dari SMK St Mary tidak hadir, acara ini akan ditangguh ke lain hari.

Seterusnya, majlis berpindah ke Bilik Pusat Sumber untuk minum petang.

Kesimpulannya, objektif untuk merapatkan silaturrahim antara komuniti sekitar SK Intan Baiduri telah tercapai. Penerangan yang diberikan serta soaljawab yang dikemukakan dapat merungkaikan sedikit sebanyak persoalan yang timbul sebelum ini. PIBG serta Pentadbir SK Intan Baiduri telah menawarkan fasiliti sekolah serta program-program untuk komuniti. Semoga ukhwah yang telah mula dibentuk dapat digilap untuk kelestarian serta kecemerlangan SK Intan Baiduri untuk komuniti persekitaran.
SIASAH UNGGUL PERIBADI CEMERLANG - SIRI 1

22 Februari 2017 - Pada hari ini, telah berlangsung Ceramah Siasah Unggul Peribadi Cemerlang - Siri 1 yang telah diadakan di Dewan Seri Intan Baiduri, SK Intan Baiduri selama 2 jam antara pukul 8 pagi - 10 pagi.

Program 2 siri anjuran bersama PIBG SK Intan Baiduri dan Unit Bimbingan & Kaunseling ini telah dihadiri oleh hampir 100 murid dari tahun 5 dan 6. PIBG telah mengambil inisiatif menjemput pakar motivasi yang diminati ramai, En. Idzhar Jumali, yang merupakan Ikon Dakwah YADIM dan penyanyi kumpulan nasyid terkenal tanahair, NowSeeHeart. 

Beliau telah menyampaikan intipati bahawa setiap perubahan perlu dimulakan dengan SIKAP. Elemen ini menjadi teras pendekatan dan kefahaman. Penjelasan S.I.K.A.P. ialah ;

S : Suka
I : Ilmu, Iman & Ihsan
K : Keadaan (Keluarga, Kawan)
A : Amalan
P : Perjuangan

Setelah SIKAP diperbetulkan, maka perkara-perkara lain juga akan tersusun rapi dan kemas dalam kehidupan.

 

 


Seterusnya, Ceramah Siasah Unggul Peribadi Cemerlang Siri 2 akan diadakan pada 1 Mac 2017 di tempat dan masa yang sama. Pada kali ini, En Idzhar Jumali akan memberi motivasi kepada murid tahun 3, 4 dan 5. Dijangkakan seramai 20 murid SK St. Mary akan turut serta mengikuti program ini.
UJIAN SARINGAN PERTAMA DALAM TALIAN UKM1 TAHUN 2017


MESRA, TERAPUTIK DAN BERINFORMASI

Anum : Ain, dah waktu rehat. Kamu nak pergi mana ?

Nor Ain : Kenyang lagi le Anum. Apa kata kita pergi ke Bilik Kaunseling. Tadi saya nampak cikgu Linda ada bawak buku cerita baharu.

Farhana : Ya lah. Lagipun kat bilik tu kan best. Ada permainan papan, ada patung lembut, ada buku cerita, ada buku pengetahuan. Boleh baring-baring lagi. Saya pun nak sambung baca buku Adiwira semalam.

Anum : Jom lah. Kita pergi cepat sikit. Nanti berebut pulak dengan Fariesha, Adham, Haikal, Dania dan Aneesa. Mintak-mintak Bilik Kaunseling kita ni akan bertambah ceria selalu.

Anum, Nor Ain, Farhana : Aminnnnnn......



 

 


Nota : Sebarang sumbangan dalam bentuk barangan atau wang tunai boleh terus dihantar ke Bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK), SK Intan Baiduri atau dimasukkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke UBK atau PIBG untuk pengesahan sumbangan).
AGIHAN BANTUAN 1MALAYSIA

14 Februari 2017 - Pada hari ini telah berlangsung pengagihan Bantuan 1Malaysia RM100 untuk murid-murid SK Intan Baiduri yang berkelayakan sahaja. 

Pada fasa 1 ini, agihan telah dibuat untuk murid tahun 3, 4, 5 dan 6. Terdapat seramai 253 murid yang terlibat dimana ibubapa mereka telah menerima agihan bantuan tersebut di Dewan Seri Intan Baiduri, mulai pukul 11.30 pagi.

Untuk murid tahun 1 dan 2, pengagihan akan dibuat pada fasa 2 dan para ibubapa yang layak akan dimaklumkan tarikh pengagihan dikemudian hari.
BENGKEL PEMERKASAAN PIBG DALAM MENANGANI MASALAH OBESITI DI SEKOLAH MELALUI INISIATIF CARA HIDUP TERBAIK (C-HAT)

13 Februari 2017 - Pada hari ni telah berlangsung Bengkel Pemerkasaan PIBG dalam Menangani Masalah Obesiti di Sekolah Melalui Inisiatif Cara Hidup Terbaik (C-HAT) di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.

Bengkel anjuran Cawangan Pemakanan, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur telah dihadiri oleh Setiausaha Kehormat PIBG SK Intan Baiduri, Pn Rebecca Nair.

Tujuan bengkel diadakan adalah :

  1. Hampir 8 jam masa seorang pelajar adalah tertumpu di sekolah selama 5 hari dalam seminggu.
  2. 80% keperluan kalori dalam sehari seorang pelajar adalah di sekolah (sarapan, minum pagi, makan tengahari dan minum petang).
  3. Aspek pengambilan makanan tidak seimbang (kurang protein, sayuran, buah-buahan).
  4. Penjualan makanan tinggi lemak (sosej, burger dan nuggets).
Turut dipamerkan adalah pameran makanan dan minuman yang boleh dijual, dilarang untuk dijual dan tidak digalakkan untuk dijual di kantin sekolah.
 
 

Pembentangan Hits dan Celik Nutrisi sekolah 2016 telah dibuat oleh En Mohammad Asyraf Bin Ismail, Penolong Pengarah Pemakanan, Cawangan Pemakanan JPWPKL&P. Seterusnya, slot Perancangan Program C-HAT (Cara Hidup Terbaik) dibentangkan oleh Pn Nor Azah Binti Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Pemakanan JPWPKL&P.

 


KHIDMAT KONSULTASI KEIBUBAPAAN

Adalah dimaklumkan Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Intan Baiduri membuka peluang kepada ibu bapa untuk mendapatkan khidmat konsultasi keibubapaan pada setiap pagi hari Jumaat. Namun masa tertakluk kepada jadual semasa guru Bimbingan dan Kaunseling.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada guru Bimbingan dan Kaunseling, Pn Ezalinda Binti Zakaria di Bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling atau meninggalkan pesanan di pejabat sekolah.
LAWATAN PENANDA ARAS DAN FORUM STEM
di DWI EMAS INTERNATIONAL SCHOOL

11 Februari 2017 - Buat julung kalinya PIBG SKIB telah membuat Lawatan Penanda Aras dan mengikuti forum STEM di Dwi Emas International School, Shah Alam. Seramai 16 peserta turut bersama dan diketuai oleh Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, Guru Besar SK Intan Baiduri serta En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, YDP PIBG SK Intan Baiduri. Ini juga merupakan lawatan luar pertama bagi tahun ini untuk ibu bapa dan guru agar mereka dapat mempelajari kreativiti dan inovasi  untuk di bawa ke SK Intan Baiduri.

  

 

 

Program bermula pada pukul 10.00 pagi dengan peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk sesi lawatan kampus. Peserta dibawa untuk melawat kawasan permainan dalaman dan luaran, makmal sains serta bilik-bilik darjah. 

Kemudian pukul 11.00 pagi, forum STEM dimulai oleh Prof. Dato' Dr. Noraini bt. Idris, TNC (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, yang merangkap Pengerusi National STEM Movement. Beliau menerangkan kenapa STEM itu penting untuk ibu bapa dan guru terapkan, untuk kemenjadian anak-anak.


 

Penyampaian disambung oleh Anne Tham dan Melinda Lim iaitu 2 teraju utama Ace Edventure Group yang mengendalikan Sri Emas International School, Dwi Emas International School dan permainan maya ChemCaper. Mereka menerangkan evolusi pengajaran dan pembelajaran dimana perubahan perlu dibuat mengikut perkembangan generasi semasa. Forum berakhir dengan soaljawab pada pukul 1.30 tengahari.





MAJLIS PELANCARAN PROGRAM 'JOM KE SEKOLAH'

6 Februari 2017 -  Pada hari ini telah berlangsung di Dataran SK Intan Baiduri, pelancaran Program 'Jom Ke Sekolah'. Program kolaboratif antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini diusahakan untuk menangani permasalahan disiplin  dan salah laku murid.

Aturcara dimulakan dengan :
  • Nyanyian lagu Negaraku, Negeri dan Sekolah.
  • Bacaan Doa
  • Ikrar Murid
  • Bacaan Perutusan KPN, PDRM oleh Cikgu Mohammad Ikram Bin Aziz
  • Bacaan Perutusan Menteri, KPM oleh Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, GB SK Intan Baiduri
  • Gimik dan seterusnya Perasmian Pelancaran Program serta Perasmian Peti Aduan Murid.

Program dihadiri 2 orang tetamu jemputan iaitu En. Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, YDP PIBG SK Intan Baiduri serta Sarjan 123097 Md Nizam Bin Ahmad, Cawangan Kereta Peronda IPD Sentul merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
MESYUARAT AGUNG PIBG SK INTAN BAIDURI KALI KE 15 SESI 2017/2018

4hb Februari 2017 - Pada hari ini telah berlangsung Mesyuarat Agung PIBG SK Intan Baiduri kali ke 15 bagi Sesi 2017/2018. 



Perasmian bermula pada pukul 9.15 pagi. Selepas bacaan doa, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Hj Ahmad, Guru Besar SK Intan Baiduri telah memberi ucapan alu-aluan dan seterusnya merasmikan Majlis tersebut. 

Penyampaian Anugerah PIBG telah disampaikan kepada Pn Norshamsiah Bt Shamsuddin sekeluarga serta Pn Siti Mariam Binti Zakaria kerana telah bergerak aktif dalam membantu melancarkan aktiviti PIBG sepanjang 2016. Kemudian Majlis diakhiri dengan penyerahan Sijil dan Cenderhati kepada setiap ahli Jawatankuasa PIBG sesi 2016/2017.

Seterusnya, Mesyuarat Agung PIBG yang ditunggu-tunggu dimulakan pada pukul 10.10 pagi. Program telah berjalan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan :


1. Ucapan YDP PIBG Sesi 2016/2017
2. Mengesahkan Minit Mesyuarat Agung Kali Ke 14 2016/2017
3. Membentang Dan Menerima Laporan Tahunan PIBG 2016/2017
4. Membentang Dan Menerima Penyata Kewangan Yang Berakhir pada 31 Disember 2016
5. Pembubaran Jawatankuasa PIBG 2016/2017
6. Pelantikan Pengerusi Sementara
7. Pelantikan AJK PIBG Sesi 2017/2018
8. Pemilihan 2 Orang Juru Audit
9. Bayaran Sumbangan PIBG
10. Membahaskan Usul-Usul
11. Hal-Hal Lain
12. Ucapan Penangguhan

Mesyuarat telah ditangguhkan pada pukul 12.50 tengahari.
MEDIA MAYA RASMI PIBG SK INTAN BAIDURI



Adalah dimaklumkan bahawa media maya rasmi PIBG SK Intan Baiduri adalah seperti berikut :

1. Untuk tatapan umum. PIBG telah menyediakan blog http://skintanbaiduripibg.blogspot.my. Blog ini (sama seperti blog sekolah http://skintanbaiduri.blogspot.my) akan memaklumkan aktiviti umum yang dijalankan oleh PIBG.

2. Untuk tatapan dalaman. Para ibu bapa digalakkan untuk menggunakan laman maya VLE FROG (1Bestarinet). Setelah login, para ibu bapa boleh melihat 3 Laman Maya iaitu Laman Sekolah, Laman PIBG dan Laman Anak. Selain daripada itu VLE FROG menyediakan beberapa capaian yang boleh digunakan oleh ibu bapa untuk pembelajaran dan pemantauan anak-anak.

3. Untuk Khidmat Pesanan. Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan satu khidmat pesanan (SYNC) yang boleh digunakan oleh semua sekolah di Malaysia. Para ibu bapa hanya perlu muat turun aplikasi SYNC di telefon pintar masing-masing untuk terima pesanan pantas dari PIBG ataupun Sekolah.

Untuk memudahkan para ibu bapa mengingati laman-laman maya ini, PIBG telah menyediakan kesemua maklumat tersebut dalam bentuk kad nama. Ini agar memudahkan para ibu bapa menyimpan kad nama ini di dalam dompet dan boleh melihat maklumat tersebut dengan pantas pada bila-bila masa.

Kad nama ini akan mula diedarkan pada hari esok 4hb Februari 2017 iaitu pada Majlis Mesyuarat Agung PIBG ke 15. Pada hari seterusnya, para ibu bapa boleh juga mendapatkannya di kaunter Pejabat SK intan Baiduri.
KEM KEPIMPINAN MURID

3hb Februari 2017 - Belum sampai 2 minggu Majlis Perlantikan Pengawas telah berlangsung, pada hari ini, anak-anak yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan telah menghadiri Kem Kepimpinan Murid yang diadakan di persekitaran sekolah SK Intan Baiduri. 

Program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Intan Baiduri ini adalah bertujuan untuk persediaan kepada 123 orang anak-anak ini bagaimana hendak menjalankan tugas mereka sepanjang tahun 2017 dengan lebih berkesan.
      • Pengawas Sekolah (50 orang)
      • Pengawas Pusat Sumber (25 orang)
      • Pengawas Briged Bestari (25 orang)
      • Pengawas SPBT (12 orang)
      • Pembimbing Rakan Sebaya (11 orang)
 

 

 

PIBG mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah sudi menjemput PIBG untuk bersama-sama menjayakan program ini. PIBG telah menyumbangkan sedikit dana untuk memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan cemerlang.

MAJLIS PELANTIKAN 
PENGAWAS SEKOLAH, PENGAWAS PUSAT SUMBER, 
BRIGED BESTARI, PENGAWAS SPBT, 
KETUA KELAS & PENOLONG dan PEMBIMBING RAKAN SEBAYA

24hb Januari 2017 - Pada hari ini telah berlangsung satu program meraikan murid-murid yang telah dilantik untuk menjadi Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Briged Bestari, Pengawas SPBT, Ketua Kelas & Penolong serta Pembimbing Rakan Sebaya bagi tahun 2017.

Bagi mewakili ibu bapa mereka, PIBG mengucapkan terima kasih kepada sekolah kerana memberi anak-anak ini peluang untuk menjadi pemimpin. Kepada anak-anak, tahniah atas lantikan dan berharap mereka dapat menjalankan tugas masing-masing dengan rasa bertanggungjawab dan  berintegriti.

PIBG juga telah berbesar hati menaja jamuan untuk meraikan anak-anak ini sebagai pembakar semangat untuk lebih cemerlang.











Info

Info