MAJLIS JAMUAN PENGHARGAAN SUKARELAWAN KARNIVAL STREAM 2017
14 Mei 2017 - Pada petang ini telah berlangsung satu pertemuan santai antara Ahli Jawatankuasa dengan sukarelawan Karnival STREAM 2017.
Ahli Jawatankuasa yang hadir adalah En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, En Mohammad Ikram Bin Aziz dan En Mohd Halimi Bin Dalep. Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad.
Manakala sukarelawan yang hadir adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 40 alumni dan komuniti yang telah membantu melancarkan program karnival tersebut.
Aturcara dimulakan dengan ucapan terima kasih daripada Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad. Beliau memaklumkan bahawa pelibatan alumni yang lebih aktif pada tahun ini telah menarik perhatian dan mendapat pujian daripada Pegawai Angkat Sekolah SK Intan Baiduri sendiri. Ianya mencapai matlamat sekolah untuk menjalinkan hubungan alumni dengan sekolah agar bekas-bekas murid tidak malu-malu untuk kembali membantu sekolah dalam apa-apa bidang dan program.
Seterusnya, Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, selaku Pengerusi Karnival STREAM 2017 juga mengucapkan terima kasih kepada alumni kerana telah banyak membantu sehinggakan sanggup datang membantu seminggu lebih awal dari tarikh karnival. Maklumbalas guru-guru SK Intan Baiduri juga adalah positif kerana dengan adanya sukarelawan, mereka dapat meluangkan masa untuk merasai sendiri suasana karnival yang berlangsung. Beliau juga mencadangkan, untuk kesinambungan ukhwah ini, insyaallah satu program pertandingan akan dirancang pada penghujung tahun dengan pelibatan antara alumni, guru-guru dan ibu bapa.
Terakhir sekali, wakil alumni, saudara Harith Hud Bin Mohd Amin telah menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak rakan-rakan dan semoga sekolah serta PIBG akan sentiasa menjemput para alumni untuk menyertai program-program yang akan datang.
Aturcara berakhir dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati oleh En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria kepada sukarelawan yang hadir.