PROGRAM MERENTAS DESA SEMPENA HARI SUKAN NEGARA 2018
PERINGKAT PARLIMEN KEPONG
13 Oktober 2018 - Hari ini merupakan sambutan Hari Sukan Negara 2018 seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia. SK Intan Baiduri turut menyambutnya melalui anjuran Parlimen Kepong dimana Program Merentas Desa diadakan untuk semua murid tahun 1 hingga tahun 6.
Program bermula pada pukul 8.00 pagi dengan acara Zumba yang diketuai oleh Cikgu Sh. Intan Baiduri binti Syed Mohd Bakhir. Selepas Zumba, murid berehat sebentar dan diberi roti krim yang disumbangkan oleh PIBG SK Intan Baiduri untuk mengalas perut. Taklimat murid kemudian diberikan oleh Penyelaras Program iaitu Cikgu Izzuddin bin M. Sukrey dengan menerangkan laluan dan peraturan yang perlu dipatuhi semasa Merentas Desa.
Larian Merentas Desa sepanjang 1 km telah dimulakan di jalan Kampung Melayu FRIM yang berhampiran sekolah dengan laluan larian menggelilingi kampung tersebut sebelum berakhir di pintu pagar masuk SK Intan Baiduri. Pelepasan diadakan secara berperingkat mulai kelas tahun 1 sehingga tahun 6. Ini agar cikgu dapat mengawal pergerakan mereka serta memastikan keselamatan murid dari berlaku tolak-menolak akibat terlalu teruja untuk menamatkan larian. Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria telah hadir untuk melepaskan larian setiap kelas tersebut. Turut memberi sokongan adalah pegawai peronda polis serta Dato' Md Nor bin Hashim.
Encik Zaifulsham juga turut sudi bersama Guru Penolong Kanan Tadbir dan Kurikulum, Puan Norizan binti Mahmud untuk menyampaikan hadiah pada pemenang tempat pertama hingga kelima setiap kelas untuk kategori Lelaki dan Perempuan. Terima kasih juga kepada ahli jawatankuasa PIBG dan para ibu bapa yang turut hadir membantu kelancaran program.
Semoga program seumpama ini dapat terus dijalankan pada tahun mendatang agar bakat sukan murid dapat dicungkil untuk diketengahkan pada peringkat yang lebih tinggi.