KARNIVAL SAINS RIA 2018
SK INTAN BAIDURI KALI KE 2
10 November 2018 - Sempena sambutan Hari Sains Sedunia pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri bersama dengan Kelab Kebajikan Guru & Kakitangan SK Intan Baiduri dan Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul telah menganjurkan Karnival Sains Ria 2018 SK Intan Baiduri di Dataran SK Intan Baiduri mulai pukul 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Untuk memeriahkan majlis, antara jemputan yang hadir adalah Puan Zainun binti Ahmad, Timbalan Pengarah Pendidikan, Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul mewakili Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Sofia Akmal binti Abu Bakar, Pengurus Kanan, K-12, Talent & Digital Entrepreneurship, Malaysia Digital Economy Coperation (MDEC), YM Raja Abd Rahman bin Raja Omar dari Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti Kebangsaan (KPIBKK) mewakili Muafakat Sentul dan Encik Chan Chon How, Pengurus Besar, BRAINet (M) Sdn Bhd.
Kesemua pentadbir sekolah turut hadir iaitu Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad, Guru Besar, Puan Norizan binti Mahmud, GPK Tadbir & Kurikulum, Puan Sakinah binti Awang @ Umar, GPK Hal Ehwal Murid dan Puan Kasmah binti Ismail, GPK Kokurikulum. PIBG pula telah diwakili oleh Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri.
Puan Zainun telah sudi merasmikan karnival dengan melancarkan roket air sebagai gimik perasmian, manakala untuk perasmian Digital Maker Hub, ianya telah dirasmikan oleh Puan Zainun bersama Puan Sofia dengan memotong reben di pintu utama hab.
Alhamdulillah, objektif penganjuran untuk menyediakan karnival 'fun learning' dan 'hands on' ini telah tercapai melalui :
1. Pernyataan Timbalan Pengarah Pendidikan PPWS, MDEC, EPRD dan rakan komuniti untuk sentiasa memberi sokongan kepada PIBG dan sekolah dalam menggalakkan program seumpama ini.
2. Pelancaran Bilik Digital Maker Hub @ SK Intan Baiduri Champions School hasil penajaan MDEC membuka peluang kepada warga SK Intan Baiduri untuk pengajaran dan pembelajaran alaf ke 21.
3. Penyediaan Bilik Tenaga Hijau pada tahun lepas telah terbukti berkesan dimana sekolah tahun ini telah mencapai pelbagai kejayaan secara langsung dan momentum kejayaan ini telah menjadi magnet kepada aktiviti lain sehingga ke peringkat kebangsaan.
5. Sokongan Ibu Bapa dalam mengukuhkan Institusi Kekeluargaan serta membentuk budaya sayang menyayang dan mengambil berat Kemenjadian Anak mereka dengan turut serta dalam beberapa pertandingan yang diadakan khas untuk anak dengan ibu bapa.
6. Penonjolan dan mencungkil bakat muda dalam seni tarian / nyanyian dan pertandingan serta menanam semangat sukarelawan dapat membentuk diri anak-anak untuk cemerlang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sahsiah (JERIS).
Terima kasih diucapkan kepada ajk PIBG yang telah membantu terutama Puan Azian dan Encik Devan serta Kumpulan Sokongan Ibu Bapa terutama Puan Wan Rosni dan yang lain-lain kerana telah memberi sumbangan tenaga untuk menjaga dan mempamerkan aktiviti pibg.
Terima kasih juga kepada Muafakat Sentul, Planetarium Negara, DBKL cawangan Batu, EPRD, PPWS, MDEC, Pintar Foundation, FRIM, PTS Publishing, BRAINet (M) Sdn Bhd, adik Farabi juara Bintang Kecil WPKL, SK St Mary, SMK St Mary, SK Seri Murni, Evoria yang menyediakan peralatan riadah, trak makanan, penyedia gerai makanan dari KKGK, Kantin dan ibu bapa. Tanpa sokongan mereka, karnival ini tidak akan berjalan semeriah ini.
Usaha PIBG SK Intan Baiduri sejak 2016 untuk menanam budaya 'moonshot thinking' dikalangan warga SK Intan Baiduri telah berjaya menaikkan semangat warga sekolah untuk cemerlang dalam pelbagai bidang pada peringkat yang lebih tinggi. Sains a.k.a. STREAM telah dilancarkan sebagai magnet. Semakin jauh 'roket' STREAM ini bergerak maka semakin kuat magnet ini akan menarik persekitarannya untuk bergerak selari.
Fenomena ini telah dapat dilihat melalui kejayaan dan program 'first' dibuat pada tahun 2017 yang ada kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan sains yang telah membentuk aura persekitaran sekolah yang positif. Dengan pelancaran Digital Maker Hub akan melihat SK Intan Baiduri melangkah dengan lebih jauh lagi. Semoga usaha ini diteruskan selaras dengan motto PIBG iaitu 'Merealisasikan Kecemerlangan Pendidikan Kebangsaan'.