Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PERSEMBAHAN JEMPUTAN SAMBUTAN 1MALAYSIA di SK ST MARY

30 September 2017 - Pada hari ini telah berlangsung Majlis Sambutan 1Malaysia yang dianjurkan oleh SK St Mary di Dewan Utamanya. Kumpulan Simfoni Rentak Tari SK Intan Baiduri turut dijemput untuk membuat persembahan.

 



Kumpulan ini yang terdiri daripada murid-murid tahun 4 dan 5 telah dilatih oleh Cikgu Sh. Intan Baiduri Binti Syed Mohd Bakhir dan diurus oleh Pengurus, Cikgu Rebecca Anak Nira dan Penolong Pengurus, Cikgu Siti Nadiah Binti Ahmad.

PIBG SK Intan Baiduri turut menyumbang wang tunai untuk persediaan peralatan tarian. Tahniah juga diucapkan kepada Kumpulan Simfoni Rentak Tari SK Intan Baiduri kerana telah memberi persembahan yang mantap.


PASCA UPSR : TAKLIMAT SEKOLAH MENENGAH DAN PERIMETER KERJAYA

27 September 2017 - Pada pagi ini telah berlangsung sesi Taklimat Sekolah Menengah dan Perimeter Kerjaya yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Intan Baiduri untuk murid-murid tahun 6.

Sesi 2 jam ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu penerangan mengenai sekolah-sekolah menengah yang ada di Malaysia yang disampaikan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria. Beliau menerangkan kriteria pemilihan dan senarai sekolah-sekolah MRSM, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kluster, Sekolah Harian, Sekolah Agama, Sekolah Sukan dan Sekolah Teknikal. 



Bahagian kedua pula disampaikan oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria iaitu bagaimana hendak memohon sekolah yang sesuai dengan perimeter kerjaya setiap murid-murid. 4 perimeter kerjaya adalah : Bakat, Minat, Personaliti dan Pencapaian.

Satu tip utama yang disampaikan oleh beliau adalah "Kita perlu ada Cita-Cita". Jika ada cita-cita maka bolehlah kita lihat kesesuaian kita berdasarkan keempat-empat perimeter kerjaya dan seterusnya memilih jurusan dan sekolah yang perlu kita pohon. 

UPSR BERMULA

11 September 2017 - Pada hari ini bermulanya peperiksaan UPSR bagi tahun 2017. Sebagai langkah menyokong segala usaha guru-guru dan murid-murid selama 8 bulan ini, untuk sepanjang tempoh peperiksaan UPSR, PIBG SK Intan Baiduri turut menyumbang sebanyak RM500 untuk penyediaan sarapan murid tahun 6 agar mereka dapat menghadapi peperiksaan dengan keadaan yang tenang dan sedia.


 

Ibu bapa yang hadir juga turut dibenarkan berada di dalam dewan utama untuk bersama-sama dengan anak masing-masing agar dapat memberikan motivasi dan semangat terakhir. Iringan doa juga dilakukan dan diketuai oleh Cikgu Mohd Azwadi Bin Maktar sebelum murid-murid ini berangkat ke bilik peperiksaan.

Turut diadakan bacaan yasin oleh ibu bapa serta guru-guru di dewan utama, sambil menunggu anak-anak ini menghadapi peperiksaan.

Semoga usaha yang dijalankan ini mendapat barakah pada anak-anak untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
MAJLIS RESTU GURU-GURU TERHADAP MURID-MURID TAHUN 6 
SEMPENA PEPERIKSAAN UPSR 2017

8 September 2017 - Setelah selesai Majlis Solat Hajat dan Majlis Restu Ibu Bapa semalam, pada pagi ini, yang merupakan hari terakhir persekolahan sebelum peperiksaan UPSR minggu hadapan, telah diadakan Majlis Restu Guru-Guru pula terhadap 78 murid-murid tahun 6 ini.

Penyampaian kata-kata motivasi dan restu dimulakan oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria dan diikuti oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Haji Ahmad serta guru-guru tahun 6. 


  


Seterusnya, murid-murid tahun 6 bersalaman dengan semua guru-guru yang hadir menandakan berakhirnya tugas guru-guru memberi didikan ilmu sepanjang 8 bulan ini serta bermulanya untuk murid-murid ini membuktikan pada guru-guru hasil usaha guru selama ini dengan menjawab dan mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR nanti.

Sumbangan alatulis oleh Kedai Buku SK Intan Baiduri turut disampaikan kepada semua murid-murid tahun 6.
MAJLIS SOLAT HAJAT DAN RESTU IBU BAPA TAHUN 6
SEMPENA UPSR 2017

7 September 2017 - Pada petang ini telah berlangsung Majlis Solat Hajat dan Majlis Restu Ibu Bapa Tahun 6 sempena persediaan terakhir untuk murid-murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR 2017 yang akan berlangsung pada 11 - 14 September 2017. Majlis dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SK Intan Baiduri.



Majlis bermula pada pukul 6.30 petang dengan bacaan yasin yang diketuai oleh Cikgu Mohd Azwadi Bin Maktar, KP Pendidikan Islam SK Intan Baiduri. Seterusnya solat maghrib diimamkan oleh Encik Arif Bin Mat Salleh, salah seorang bapa murid tahun 6 yang hadir pada malam itu.



Selesai sahaja solat maghrib, tazkirah disampaikan oleh Jemputan Khas Ustaz Abd Aziz bin Disa, Penolong Pengarah Pengurusan Pengembangan Syiar Islam dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan diikuti dengan solat Isyak.




Majlis diakhiri oleh Cikgu Rohayati Binti Ghazali yang mengetuai Majlis Restu Ibu Bapa oleh ibu bapa terhadap anak masing-masing agar mereka dapat barakah dalam menjawab serta mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.


 

Majlis hari ini, turut dihadiri Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad Bin Haji Ahmad, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham Bin Haji Ahmad Zakaria, guru-guru, ibu bapa, murid-murid tahun 6 serta keluarga masing-masing.

Jamuan turut disediakan sebelum majlis bersurai.

Info

Info