Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PROGRAM JUARA :
PERJUMPAAN IBU BAPA MURID TAHUN 6 YANG CEMERLANG

24 Mei 2017 - Pada hari ini, Perjumpaan Ibu Bapa Murid Tahun 6 yang Cemerlang telah diaturkan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling serta Penyelaras Kecemerlangan UPSR di Bilik Bimbingan & Kaunseling.

Pada permulaan, 10 murid, berdasarkan keputusan peperiksaan berkala, telah terpilih dalam program ini dan komitmen ibu bapa untuk kecemerlangan anak mereka telah terbukti dengan kehadiran 100%.

Ucapan alu-aluan dimulakan oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad. Ianya diikuti oleh Guru Bimbingan & Kaunseling, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria yang menerangkan tujuan Program Juara ini. 

Seterusnya, YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria pula meyakinkan para ibu bapa bahawa PIBG sentiasa menyokong segala program yang diusahakan oleh pihak sekolah serta berharap para ibu bapa dapat bersama-sama membantu merealisasikan kecemerlangan anak-anak mereka. 

Agenda diakhiri dengan taklimat oleh Penyelaras Kecemerlangan UPSR, Cikgu Rohayati Binti Ghazali akan perjalanan program yang telah dirancang.

Semoga dengan adanya perjumpaan ini, para ibu bapa dapat bersama-sama sekolah dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik.


 

PENCERAPAN AWAM : 
PLANET JUPITER / MUSYTARI OLEH PLANETARIUM NEGARA

20 Mei 2017 - Pada hari ini, Planetarium Negara telah menjemput warga SK Intan Baiduri untuk bersama-sama mengikuti Pencerapan Awam  : Planet Jupiter / Musytari yang diadakan mulai pukul 8.00 malam di perkarangan Planetarium Negara.

Sambutan dari warga SK Intan Baiduri amat menggalakkan dimana hampir 20 keluarga dengan jumlah keseluruhan seramai 80 orang dari kalangan ibu bapa, anak-anak SKIB serta saudara mara telah menyahut seruan PIBG SK Intan Baiduri.

Secara keseluruhannya, ianya mencapai objektif PIBG untuk pendedahan awal kepada anak-anak SKIB akan mata pelajaran Sains serta menggalakkan ibu bapa untuk bersama-sama dalam pendidikan anak-anak. Para hadirin telah diberi peluang melihat planet Jupiter melalui teleskop kanta berkuasa tinggi yang disediakan secara percuma oleh Planetarium. Galeri-galeri planetarium juga dibuka dan banyak ilmu sains negara dapat dipelajari. Klimaks adalah pertunjukan Teater Angkasa secara langsung kedudukan langit serta pembelajaran bintang-bintang yang ada pada malam itu. Ianya diakhiri dengan pertunjukan kaitan antara Bumi, Bulan dan Matahari.

Turut hadir mengetuai rombongan ini adalah YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria serta Ketua Panitia Sains, Cikgu Mayasari @ Idawanie Binti Omar. Sebagai tanda penghargaan, setiap keluarga telah diberikan Kupon Tayangan Percuma untuk lawatan keluarga seterusnya,hasil daripada sumbangan Planetarium Negara.

Terima kasih tak terhingga juga diucapkan kepada Pn Zaimahayati Binti Zainudin, dari Bahagian Pendidikan Sains Angkasa, Planetarium Negara kerana telah sentiasa menyokong pelibatan SK Intan Baiduri dalam program-program planetarium.


 

 

 

 


 




SELAMAT HARI GURU 2017

16 Mei 2017 - Pada hari ini telah berlangsungnya dengan gemilang Sambutan Hari Guru peringkat sekolah SK Intan Baiduri. 

Program yang diaturkan oleh Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Intan Baiduri ini bermula dengan perarakan masuk para pentadbir sekolah, YDP PIBG SK Intan Baiduri serta guru-guru SK Intan Baiduri. Ianya diikuti dengan lafaz ikrar guru serta nyanyian lagu rasmi guru. 

Teks ucapan Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia disampaikan oleh ustaz Mohd Azwadi Bin Maktar manakala teks ucapan Menteri Pendidikan disampaikan oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad.

Seterusnya penyampaian hadiah terima kasih kepada semua guru oleh YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria bagi pihak Jawatankuasa PIBG SK Intan Baiduri. Diikuti oleh persembahan daripada murid-murid serta guru-guru.

Dalam ajarannya ada HARAPAN,
Dalam tegurnya ada DOA,
Dalam marahnya ada SAYANG,
Dalam diamnya ada KEBIJAKSANAAN,
Dalam tangannya ada SAHSIAH TERBINA.

 

 

Bagi pihak PIBG SK Intan Baiduri, kami mengucapkan Selamat Hari Guru kepada kesemua 43 orang guru SK Intan Baiduri yang telah berhempas-pulas membimbing anak-anak kami sehingga mencapai kecemerlangan baik dalam akademik, kokurikulum serta sahsiah. Semoga segala pengorbanan anda diberkati oleh tuhan yang maha esa.

 

Tak lupa juga penyampaian hadiah terima kasih juga diberikan kepada 5 orang kakitangan sekolah kerana secara tidak langsung telah melaksanakan tugas dengan amat baik dalam membantu guru-guru dalam tugasan mereka.


Terima kasih juga diucapkan kepada Bank Rakyat cawangan Selayang kerana turut meraikan guru-guru kami dengan pemberian kek serta door gift. 
PEMASANGAN BUNTING SEMPENA 
PERAYAAN HARI GURU SK INTAN BAIDURI 2017

14 Mei 2017 - PIBG SK Intan Baiduri ingin mengucapkan terima kasih kepada para alumni yang diketuai oleh saudara Harith Hud Bin Mohd Amin kerana telah membantu untuk memasang 7 bunting sempena Sambutan Hari Guru SK Intan Baiduri 2017 yang akan berlangsung pada 16 Mei 2017.

Semoga dengan adanya bunting ini, akan memberi kesedaran kepada ibu bapa / penjaga / murid akan sambutan yang diadakan tidak lama lagi.

SELAMAT HARI GURU



 

 

 

 

MAJLIS JAMUAN PENGHARGAAN SUKARELAWAN KARNIVAL STREAM 2017

14 Mei 2017 - Pada petang ini telah berlangsung satu pertemuan santai antara Ahli Jawatankuasa dengan sukarelawan Karnival STREAM 2017. 

Ahli Jawatankuasa yang hadir adalah En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, En Mohammad Ikram Bin Aziz dan En Mohd Halimi Bin Dalep. Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad.

Manakala sukarelawan yang hadir adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 40 alumni dan komuniti yang telah membantu melancarkan program karnival tersebut.

Aturcara dimulakan dengan ucapan terima kasih daripada Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad. Beliau memaklumkan bahawa pelibatan alumni yang lebih aktif pada tahun ini telah menarik perhatian dan mendapat pujian daripada Pegawai Angkat Sekolah SK Intan Baiduri sendiri. Ianya mencapai matlamat sekolah untuk menjalinkan hubungan alumni dengan sekolah agar bekas-bekas murid tidak malu-malu untuk kembali membantu sekolah dalam apa-apa bidang dan program.

Seterusnya, Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, selaku Pengerusi Karnival STREAM 2017 juga mengucapkan terima kasih kepada alumni kerana telah banyak membantu sehinggakan sanggup datang membantu seminggu lebih awal dari tarikh karnival. Maklumbalas guru-guru SK Intan Baiduri juga adalah positif kerana dengan adanya sukarelawan, mereka dapat meluangkan masa untuk merasai sendiri suasana karnival yang berlangsung. Beliau juga mencadangkan, untuk kesinambungan ukhwah ini, insyaallah satu program pertandingan akan dirancang pada penghujung tahun dengan pelibatan antara alumni, guru-guru dan ibu bapa.

Terakhir sekali, wakil alumni, saudara Harith Hud Bin Mohd Amin telah menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak rakan-rakan dan semoga sekolah serta PIBG akan sentiasa menjemput para alumni untuk menyertai program-program yang akan datang.  

Aturcara berakhir dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati oleh En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria kepada sukarelawan yang hadir.

 

 

 

 

 


Info

Info