Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
KURSUS PENINGKATAN PEMBIMBING RAKAN SEBAYA (PRS) 
SEKOLAH RENDAH WILAYAH SENTUL 2018

3 April 2018 - Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Wilayah Sentul dengan kerjasama Majlis Guru  Zon Sentul Rendah telah menganjurkan Kursus Peningkatan PRS Sekolah Rendah Wilayah Sentul 2018 bertempat di Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur mulai pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

50 buah sekolah rendah dengan jumlah peserta seramai 151 orang murid telah menyertai kursus ini dimana SK Intan Baiduri diwakili oleh 3 orang murid dan guru pengiring, Cikgu Ezalinda bt Zakaria. Turut membantu pengurusan dan perjalanan murid adalah Puan Azian bt Sumin, AJK PIBG SK Intan Baiduri.

Semoga dengan adanya Kumpulan Khidmat Bantu Sekolah (KKBS) dalam program-program luar sekolah dapat meringankan beban guru serta membantu melancarkan persediaan murid dan sekolah. Tahniah juga diucapkan kepada Cikgu Ezalinda atas usaha beliau untuk memberi pendedahan luar kepada anak-anak SK Intan Baiduri.

 

 
PROGRAM JUARA TAHUN 6 - SESI DISKUSI 1

1 April 2018 - Pada hari ni, seramai 5 orang murid dari Program Juara Tahun 6 telah mengikuti sesi pertama diskusi luar sekolah. Matapelajaran yang dipilih adalah matematik dan sains. Sesi ini diseliakan sendiri oleh Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham bin Hj Ahmad Zakaria, merangkap bapa kepada salah seorang murid.

Untuk aktiviti pertama, para murid telah mengikuti kelas matematik bersama Cikgu Halimi selama 2 jam iaitu dari pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Seterusnya, mereka telah dibawa ke Taman Botani Perdana untuk makan tengahari sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Planetarium Negara.

 

Disana, antara aktiviti yang dibuat adalah melihat pameran angkasa, menonton dua tayangan iaitu The Accidental Astronauts dan Solar Storm, serta mencerap matahari. Namun tidak dilupakan, mereka turut membuat sesi diskusi kertas sains upsr 2017. Untuk menambahkan sifat persaingan, penilaian dibuat dimana murid yang mendapat markah tinggi telah mendapat tiket percuma menaiki Space Pod. Aktiviti berakhir pada pukul 3.00 petang.

 

 

 

 

Semoga dengan penganjuran pertama ini dapat mewujudkan semangat pada anak-anak untuk berdiskusi secara kumpulan demi mendapat keputusan yang cemerlang dalam ujian mereka.
PROGRAM AKADEMIK MENTOR MENTEE
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA 2018 : SESI 3 - KOMPONEN ELEKTRIK DAN LITAR

31 Mac 2018 - Pada pagi ini, Program Akademik Mentor Mentee Universiti Teknologi Malaysia 2018 telah berlangsung untuk sesi kali ke 3. Dapat dilihat bahawa para Mentee yang terdiri daripada murid tahun 4 dan tahun 5 SK Intan Baiduri tidak sabar lagi untuk berjumpa dan belajar bersama abang-abang dan kakak-kakak Mentor yang merupakan para pelajar tahun 2 dan tahun 3 dari UTM.

Aturcara program berjalan seperti biasa dimana pada sesi kali ini, murid tahun 4 yang dikhususkan untuk belajar matapelajaran Matematik akan diajar tajuk 'Peratus' manakala murid tahun 5 yang dikhususkan untuk belajar matapelajaran Sains akan diajar tajuk 'Keadaan Jirim".

 

 

 

Untuk ruangan Hands-on, PIBG SK Intan Baiduri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Sahnius Usman serta juruteknik Encik Mohamad Azrai Mohamad Junid kerana telah sudi melakukan Bengkel Komponen Elektrik dan Litar. Sambil mendengar penerangan Dr Sahnius, murid-murid telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dengan setiap kumpulan diberikan alatan untuk menguji komponen elektrik dan litar dimana hasilnya adalah untuk menyalakan mentol yang dibekalkan.

 

 


 

 

Pada akhir program, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham bin Hj Ahmad Zakaria telah sudi menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr. Sahnius dan Encik Mohamad Azrai. Semoga dengan pendedahan yang diberikan dapat memberi peluang kepada murid-murid untuk membuka minda akan alatan-alatan yang tersedia di persekitaran mereka.
MESYUARAT AJK PIBG SESI 2018/2019 kali Pertama

30 Mac 2018 - Pada hari ini telah berlangsung Mesyuarat AJK PIBG  sesi 2018/2019 untuk kali pertama selepas Mesyuarat Agung PIBG kali ke 16 yang diadakan pada 24 Februari 2018. Mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Sekolah telah dihadiri oleh 15 daripada 18 ahli dan turut dihadiri oleh GPK Tadbir & Kurikulum, Puan Norizan binti Mahmud (mewakili Guru Besar yang terpaksa menghadiri kursus luar), GPK Kokurikulum, Puan Kasmah binti Ismail dan kedua-dua juruaudit dalaman.

3 perubahan pada ahli telah berlaku sebelum mesyuarat iaitu 2 ahli ibu bapa telah menarik diri manakala 1 ahli guru telah dibuat pertukaran untuk diselaraskan dengan struktur pibg yang baharu. Kesemua lantikan baharu adalah dipilih daripada senarai ahli yang hadir pada Mesyuarat Agung yang lalu.

Bermula pukul 3.00 petang, mesyuarat dibahagikan kepada 2 sesi iaitu Program Induksi dan Mesyuarat Sebenar. Antara aktiviti induksi yang dipengerusi sendiri oleh Yang DiPertua adalah ice breaking, penerangan mengenai halatuju PIBG dan struktur organisasi 2018. 


Halatuju yang dipilih bagi 2018 adalah "MAJU KE HADAPAN". 

Manakala mesyuarat sebenar membincangkan post mortem program yang telah dijalankan sepanjang Januari - Mac, cadangan dan permohonan bajet serta takwim PIBG sepanjang 2018. Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 5.30 petang.

Semoga dengan adanya pertemuan rasmi yang pertama, setiap ahli mengetahui akan tugas masing-masing dalam memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk kecemerlangan murid dan sekolah SK Intan Baiduri.


 

 

PERTANDINGAN TARI RAKYAT MALAYSIA 
SEMPENA HARI KRAF KEBANGSAAN 2018

29 Mac 2018 - Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Simfoni Rentak Tari SK Intan Baiduri atas persembahan yang mantap dan bertenaga dalam Pertandingan Tari Rakyat Malaysia sempena Hari Kraf Kebangsaan 2018 yang telah diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada hari ini.

Kumpulan ini telah di latih oleh Cikgu Sharifah Intan Baiduri binti Syed Mohd Bakhir dan diuruskan oleh Pengurus Cikgu Rebecca Anak Nira serta Penolong Pengurus, Cikgu Siti Nadiah binti Ahmad.

Semoga semangat tari ini dapat diteruskan agar melatih skil motor anak-anak SK Intan Baiduri untuk lebih cemerlang dalam apa-apa bidang sekalipun.

 

 


Info

Info