Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
GURU BESAR SK INTAN BAIDURI MENERIMA
ANUGERAH IKON STEM NEGERI WP KUALA LUMPUR

3 Oktober 2018 - Tahniah pada Guru Besar SK Intan Baiduri, Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad kerana telah menerima Anugerah Ikon STEM bagi Peringkat Negeri WP Kuala Lumpur (Kategori Guru Besar) di 2nd International Conference on STEM Education (ICSTEM) 2018 yang diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.

 

Pemilihan Tuan Haji Ahmad Fuad merupakan pengiktirafan pada usaha sekolah dan PIBG SK Intan Baiduri untuk membudayakan STEM dikalangan anak-anak SK Intan Baiduri khasnya dan komuniti persekitaran amnya sejak tahun 2016 lagi. Kejayaan yang dicapai akan menjadi pemangkin kepada pengiktirafan yang lain pada masa hadapan.

Tahniah juga pada guru-guru, ibu bapa dan rakan komuniti yang sentiasa menghulurkan bantuan dan kerjasama. SK Intan Baiduri telah mula dikenali ramai sebagai Pusat Pembelajaran STEM (STEM Learning Centre - SLiC@SK Intan Baiduri). Semoga usaha murni ini dapat diteruskan dalam menaikkan nama SK Intan Baiduri pada peringkat yang disegani umum.
PERTANDINGAN "JUNIOR INNOVATE"
PERINGKAT NEGERI SELANGOR. WP KUALA LUMPUR DAN WP PUTRAJAYA

29 September 2018 - Pada hari ini, buat julung kalinya, SK Intan Baiduri telah menghantar 4 pasukan untuk menyertai Pertandingan "Junior Innovate" peringkat negeri Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang dianjurkan oleh Chumbaka di #mydigitalmaker Fair 2018, Stadium Axiata Arena Bukit Jalil.

Pasukan yang terdiri daripada 8 orang murid tahun 5 dan 6 tersebut diketuai oleh Cikgu Mayasari @ Idawanie binti Omar dan dibantu oleh Cikgu Sh. Intan Baiduri binti Syed Mohd Bakhir dan Cikgu Norazwa binti Mohamad Hanif. Turut hadir adalah Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri, Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria.

 Walaupun tidak meraih sebarang kemenangan, penyertaan ini telah memberi peluang untuk sekolah menilai kemampuan anak-anak SK Intan Baiduri menghadapi pertandingan besar seumpama ini serta menimba ilmu untuk penambahbaikan pada pertandingan seterusnya.

Untuk makluman, penyertaan ini juga telah ditaja oleh pihak Chumbaka melalui 5 set perkakasan Embedded System supaya murid dapat manfaat daripada segi penggunaan komponen elektrik serta kemahiran pengaturcaraan komputer.

Semoga dengan terjalinnya Chumbaka sebagai rakan strategik dapat memberi banyak pendedahan kepada murid SK Intan Baiduri akan gerakan Revolusi Industri 4.0. 

 

SOKONGAN IBU BAPA MURID TAHUN 6 DAN PERSEDIAAN GURU
AMAT MANTAP WAKTU PEPERIKSAAN UPSR 2018

24-27 September 2018 - Terima kasih kepada ibu bapa murid tahun 6 yang turut membantu guru dan sekolah dalam menguruskan anak-anak tahun 6 pada hari peperiksaan UPSR 2018. Setiap hari mulai 7.30 pagi, kehadiran terutamanya ibu-ibu dalam menyiap dan melayan anak-anak bersarapan di kantin telah memberi suntikan semangat dan memberi ketenangan kepada anak-anak.

Ada juga yang menyumbang makanan seperti nasi lemak dan pisang sewaktu ruang lapang antara jadual peperiksaan berlangsung. Ini meringankan tugas guru serta memberi peluang untuk guru menumpukan perhatian kepada anak-anak sewaktu rehat dengan mengulangkaji mata pelajaran peperiksaan yang seterusnya.

 

 


 

 

Terima kasih juga kepada pihak sekolah kerana telah memberi ruang kepada ibu bapa untuk bersama-sama dengan anak di kantin dan dewan. Dengan mengamalkan konsep sekolah terbuka, anak-anak nampak tenang dan bersedia oleh kerana kehadiran ibu bapa mereka yang sentiasa memberi galakan. Sewaktu peperiksaan berlangsung, sambil menunggu, ibu bapa juga dibenarkan untuk menunggu di ruangan surau sekolah. Ini memberi peluang pada ibu bapa untuk berehat dan membaca yasin.

Semoga dengan terjalinnya hubungan erat antara sekolah dan ibu bapa ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
PROGRAM IBU BAPA HEBAT ANAK CEMERLANG

12 September 2018 - Untuk memantapkan persiapan murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR, PIBG SK Intan Baiduri bersama Unit Bimbingan & Kaunseling dan Jawatankuasa Guru  Kecemerlangan UPSR Tahun 6 telah bergabung dengan mengadakan Program Ibu Bapa Hebat Anak Cemerlang.

Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad dan Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria. Ketua Pegawai Eksekutif Hy Herbs, Encik Halim Yasin juga telah sudi hadir untuk memberi motivasi kepada ibu bapa dan anak-anak tahun 6 yang hadir. 

Program bermula pada pukul 2 petang dengan motivasi khas pada ibu bapa dengan pengisian tanggungjawab mereka dalam menyediakan suasana keluarga yang ideal untuk anak-anak.

 

 

Seterusnya adalah sesi mandian herba dimana ibu bapa yang hadir telah diberi tugasan untuk memandikan sendiri anak mereka agar memberi aura yang positif pada minda anak-anak bahawa mereka sentiasa disayangi.

 

 

 

 

Alhamdulillah sambutan ibu bapa amat menggalakkan walaupun program dijalankan pada hari kerja. Semoga semangat yang ditunjukkan oleh ibu bapa ini dapat memangkinkan anak mereka untuk menjadi lebih cemerlang dalam kehidupan mereka. 
MAJLIS SOLAT HAJAT PERDANA UPSR 2018

16 Ogos 2018 - Pada hari ini telah berlangsung Solat Hajat Khas UPSR 2018 anjuran Persatuan Pendidikan Islam, Panitia Pendidikan Islam dan Surau Ar Raudhah SK Intan Baiduri dengan kerjasama PIBG SK Intan Baiduri dan Sektor Pendidikan Islam JPWPKL. Program ini diadakan khusus untuk ibu bapa dan murid tahun 6 SK Intan Baiduri bagi menghadapi peperiksaan UPSR.

Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri Tuan Haji Ahmad Fuad bin Haji Ahmad, Yang DiPertua PIBG SK Intan Baiduri Encik Zaifulsham bin Haji Ahmad Zakaria serta penceramah jemputan Pegawai Sektor Pendidikan Islam JPWPKL Ustaz Noh Azzaki bin Zainal.

Program yang diadakan di Dewan Baiduri SK Intan Baiduri telah bermula pada pukul 6.30 petang dengan ketibaan tetamu dan pendaftaran ibu bapa. Aturcara yang dirancang adalah Bacaan Yaasin, Solat Maghrib, Solat Hajat, Tazkirah oleh Ustaz Noh dan diikuti oleh Restu Ilmu dan Solat Isyak. Majlis diakhiri dengan jamuan ringan.

Alhamdulillah sambutan ibu bapa adalah amat menggalakkan. Anak-anak yang ibu bapanya tidak dapat hadir pula menumpang kasih pada guru yang ada. Semoga dengan selesainya program sebegini dapat membentuk kesedaran dan modal insan pada murid serta menanam sikap tawakkal dan pengamalan Fardu Ain dan Fardu Kifayah dalam kehidupan seharian mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

Info

Info