TAKLIMAT IBU BAPA CALON
DUTA PENGGERAK DIGITAL SK INTAN BAIDURI
DUTA PENGGERAK DIGITAL SK INTAN BAIDURI
25 Januari 2019 - Pada pagi ini telah berlangsungnya perjumpaan pertama antara ibu bapa kepada calon Duta Penggerak Digital SK Intan Baiduri, bersama dengan Pentadbir dan PIBG SK Intan Baiduri. Walaupun taklimat ini diadakan pada hari kerja, namun ianya tidak menghalang 27 daripada 30 ibu bapa calon untuk hadir mendengar halatuju Duta Penggerak Digital yang pertama kali ditubuhkan setelah sekolah dipilih pada tahun lepas oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Digital Maker Champion School.
Taklimat dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh GPK Tadbir & Kurikulum, Puan Norizan binti Mahmud, mewakili Guru Besar, sebelum Guru Penyelaras Digital Maker Hub (DMH) @ SK Intan Baiduri, Cikgu Nur Hashimah binti Muhd Hashim menerangkan secara terperinci tugas DMH dan Duta Penggerak Digital. Seterusnya, Yang DiPertua PIBG, Encik Zaifulsham bin Hj Ahmad Zakaria telah membentangkan sasaran KPI DMH @ SK Intan Baiduri bagi tahun 2019.
Turut memberi ucapan dan menyatakan sokongan adalah Guru Bimbingan & Kaunseling, Cikgu Ezalinda binti Zakaria serta Guru Penyelaras Hab Tenaga Hijau, Cikgu Mayasari @ Idawanie binti Omar. Turut hadir adalah Guru Penyelaras DMH, Cikgu Mohd Syakir bin Ahmad Sawal. Setelah tamat taklimat, para ibu bapa telah dibawa melawat Hab Digital Maker dan Hab Tenaga Hijau.
Alhamdulillah ibu bapa dengan sebulat suara bersetuju untuk membantu menjayakan inisiatif ini demi kemenjadian anak-anak serta kecemerlangan SK Intan Baiduri. Secara kolektif, sekolah akan menubuhkan 5 kumpulan iaitu :
a. Duta Penggerak Digital - 30 orang murid
b. Kumpulan Penggerak Digital Guru (KPDG) - 12 orang guru
c. Kumpulan Penggerak Digital Ibu Bapa (KPDIB) - 60 orang ibu dan bapa
d. Kumpulan Penggerak Digital Komuniti (KPDK) - Tiada had
e. Kumpulan Penggerak Digital Alumni (KPDA) - Tiada had
Semoga dengan persetujuan yang telah dicapai dan disusun, akan membawa kecemerlangan kepada SK Intan Baiduri untuk menjadi sekolah yang terulung dalam pergerakan Digital serta STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Art, Mathematic) di Kuala Lumpur dan Malaysia keseluruhannya.