Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PROGRAM SETULUS BUDI : JEJAK CEMERLANG
(untuk Ibu Bapa dan Murid Tahun 6)



PROGRAM SETULUS BUDI : MINDA CEMERLANG
(untuk Ibu Bapa dan Murid Tahun 1 - 5)



PROGRAM PIBG PENYAYANG : URUTAN HEAD & SHOULDER UNTUK GURU-GURU

4hb April 2016 - PIBG bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling akan menjalankan satu program urutan untuk guru-guru SKIB.sepanjang bulan April ini. Tujuan program ini adalah untuk menghargai pengorbanan guru-guru yang selama ini telah bertungkus lumus memastikan kemenjadian murid-murid SKIB. 

Program ini akan dikelolakan sendiri oleh Ibu Bapa SKIB yang diketuai oleh Pn Siti Mariam bt Zakaria yang mempunyai kelulusan dalam bidang ini.

Hari : Setiap Selasa sepanjang bulan April 2016
Masa : 8 pagi - 10 pagi (Tertakluk pindaan)
Tempat : Bilik Kaunseling
Tempoh Rawatan : 5 - 10 minit
Bayaran : Ikhlas (Tabung Keceriaan PIBG disediakan)
FESTIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN ANJURAN PERSATUAN PERMUAFAKATAN PELIBATAN IBU BAPA DAN KOMUNITI KUALA LUMPUR (3PIB2KL) 
PADA 6 - 7 APRIL 2016




WAKAF 1 TELAH DIAMBIL SEBAGAI WAKAF ANGKAT UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING SKIB

1hb April 2016 - Pada hari ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling SKIB telah menyatakan kesediaan untuk mengambil Wakaf 1 sebagai Wakaf Angkat. 




Untuk permulaan, kesemua tiang wakaf telah dicatkan dengan warna ungu pada 2hb April 2016. Terima kasih kepada En Latif sekeluarga kerana telah sudi membantu mengecat tiang tersebut. 
DALAM KENANGAN : ENCIK PAHA @ RAMIT MURANG

1hb April 2016 -  Saya, Yang DiPertua PIBG SKIB dengan dukacitanya memaklumkan bahawa En. Paha, AJK PIBG SKIB 2016/2017 telah meninggal dunia secara mengejut di rumahnya pada pagi ini. 

En Paha di barisan hadapan,  dua dari kiri

Dengan ini, saya mewakili pihak PIBG SKIB merakamkan ucapan takziah kepada keluarga En Paha. Walaupun mendiang baru dipilih sebagai AJK PIBG SKIB, selama 2 bulan ini, mendiang telah menunjukkan semangat positif dan ceria dalam kecemerlangan murid SKIB. Perlantikan beliau sebagai Pengerusi Kelab Sukan PIBG adalah amat dinantikan untuk membantu PIBG dalam mencapai halatuju 2016 - Ibubapa dan Sukan iaitu memartabatkan sukan dan kebudayaan dalam sahsiah murid-murid SKIB.

Saya pasti pemergian mendiang akan dirasai oleh setiap AJK PIBG yang telah mengenai beliau.

* Mayat mendiang telah diterbangkan ke Tenom, Sabah keesokan harinya untuk pengkebumian.
PENYELENGGARAAN WAKAF 1

31hb Mac 2016 - Pada hari ini telah selesai baikpulih pengukuhan dan penggantian genting pada wakaf 1 oleh ibu bapa SKIB. Disamping itu, sempat pula menggantikan genting di beberapa tempat, mengukuhkan tiang menunggu di luar pagar sekolah serta mengukuhkan railing dalam kantin sekolah.





Terima kasih diucapkan kepada En Azamudin sekeluarga, En Khairul sekeluarga, En Hashim, En Latif, En Romie, Pn Hawa dan En Zaini atas bantuan tenaga dan nasihat.

Projek seterusnya akan diteruskan dengan baikpulih Wakaf 2 serta penggantian dan pengukuhan pada beberapa lagi genting dan kayu penyokong di beberapa kawasan lindungan yang telah rapuh. 
PROJEK KECERIAAN BILIK BIMBINGAN DAN KAUNSELING SKIB

Bilik Bimbingan dan Kaunseling SKIB, 22hb Mac 2016 - Pada hari ini, PIBG telah membantu Unit Bimbingan dan Kaunseling (BK) dalam mengeluarkan dua partition dinding yang telah mengasingkan bilik BK kepada dua bahagian.



Selepas




Sebelum

Semoga dengan usaha ini dapat membantu Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam menjalankan program-program yang dirancangkan dengan lancar.
SESI MAKLUMAN Engagement: PELAKSANAAN PROGRAM LOCAL AGENDA 21 KL - PROJEK ENGLISH @CLiC 2.0

Auditorium Perpustakaan Kuala Lumpur, 18hb Mac 2016 - Urus Setia LA21 Kuala Lumpur bersama-sama Jawatankuasa Kerja Projek English @ CLiC 2.0 Local Agenda 21 di bawah Bandar Raya Sejahtera telah mengadakan satu sesi makluman berkenaan Pelaksanaan Projek English @ CLiC 2.0 bagi tahun 2016 kepada Pengetua / Guru Besar dan Yang DiPertua PIBG sekolah-sekolah sekitar kawasan Sentul yang melibatkan 83 buah sekolah kesemuanya.

Program ini dilaksanakan bersama -sama KPM, JPWPKL, Pejabat Pelajaran Sentul, Sentul Raya Sdn Bhd, NGO Permuafakatan IbuBapa Prihatin Sentul dan rakan usaha sama Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, BZ Bee dan Frog Asia.



SK Intan Baiduri telah diwakili oleh Guru Besar, Tn Hj Ahmad Fuad bin Ahmad dan Yang DiPertua PIBG, En Zaifulsham Ahmad Zakaria.

Semoga penyertaan SK Intan Baiduri dalam program ini dapat membantu guru dalam membimbing dan memperluaskan penggunaan bahasa Inggeris kepada murid-murid SKIB. 
LATIHAN KATERING SIHAT SEKOLAH

14hb Mac 2016 - Pada hari ini, YDP En Zaifulsham Ahmad Zakaria telah dijemput untuk menghadiri Latihan Katering Sihat kepada Pengerusi PIBG, Pengusaha Kantin dan Pengendali Makanan Kantin Sekolah yang telah diadakan di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.


Objektif latihan adalah :

1. Meningkatkan pengetahuan peserta mengenai prinsip makan secara sihat mengikut Panduan Diet Malaysia termasuk kandungan nutrien dan saiz sajian.

2. Meningkatkan kesedaran peserta mengenai peranan pengendali dan pengusaha makanan dalam perlaksanaan Garis Panduan Penjualan Makanan dan Minuman di Kantin Sekolah.

3. Meningkatkan pengetahuan peserta mengenai prinsip perancangan menu dan pemilihan menu sihat.

4. Meningkatkan kemahiran peserta dalam penyediaan hidangan sihat termasuk agihan kalori mengikut waktu makan.



 


PIBG mengharapkan Garis Panduan ini akan diikuti oleh pengendali dan pengusaha makanan kantin SK Intan Baiduri serta dipantau lebih kerap oleh Jawatankuasa Kantin agar anak-anak kita mendapat makanan yang BERSIH, SIHAT dan SELAMAT.
PROGRAM MESRA 1 TAHUN 6

11hb Mac 2016 - Pada hari ini, telah berlangsung Program Mesra 1 murid-murid tahun 6 dan Ibu Bapa masing-masing bersama para guru tahun 6 serta PIBG yang diwakili oleh YDP, En Zaifulsham Ahmad Zakaria. Turut hadir AJK PIBG ialah En Paha dan Dr Nur Izzah.

Program bermula pukul 8.30 pagi dengan ucapan YDP PIBG yang bertemakan 'CINTA'. Iaitu Ibu Bapa dan Anak perlu ada semangat cinta antara mereka. Cinta ini sebagai kontrak bahawa masing-masing akan cuba membuat terbaik untuk kecemerlangan kekeluargaan. Maka pada hari ini, murid-murid perlu menanam satu lagi cinta kepada sekolah iaitu berjanji akan membuat yang terbaik dalam peperiksaan UPSR tahun ini. Ibu Bapa pula perlu menanam cinta pada PIBG iaitu membantu PIBG untuk membantu mereka dan anak-anak mereka. 

YDP juga turut memberi Taklimat Umum pelibatan murid-murid dalam Program e-Bandaraya yang telah ditaja oleh Yayasan Bank Rakyat. Tajaan permulaan ini bernilai hampir RM10,000.

Aturcara diteruskan dengan :

1. Penyerahan Buku Akaun dan Kad Tajaan i-Learn kepada 27 murid.
2. Penyerahan Graf Prestasi dan Keputusan Diagnostik.
3. Saya Calon 6A UPSR 2016.
4. Tandatangan Akur Janji.

 

PIBG mengharapkan dengan penerangan yang telah diberikan dapat dimanafaatkan oleh ibu bapa dalam meningkatkan prestasi anak-anak untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikannya.
KOLAM IKAN TAMAN HERBA MULA BEROPERASI

8hb Mac 2016 - Setelah berbulan lamanya membuang sampah sarap yang memenuhi sepenuhnya kolam tersebut, lalu membaikpulih serta memperbaiki kebocoran kolam oleh guru-guru dan ibu bapa dibawah pengawasan En Azamudin, akhirnya Kolam Ikan Taman Herba mula beroperasi sepenuhnya.

Terima kasih pada Pn Siti Mariam bt Zakaria kerana telah sudi menyumbangkan ikan keli pada hari ini. Jika ada ibu bapa yang ingin turut menyumbang, sila berjumpa dengan YDP atau Cikgu Maya untuk serahan.


BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2016

4hb Mac 2016 - Pada pukul 11 pagi hari ini, telah berlangsung penyampaian Bantuan Awal Persekolahan sumbangan kerajaan sebanyak RM100 di Dewan Intan Baiduri oleh pihak sekolah SK Intan Baiduri.

Seramai 298 murid tahun 2 hingga tahun 6 telah layak mendapat sumbangan Bantuan ini dimana ibu bapa perlu mengambil sendiri dengan membawa dokumen yang berkenaan.

PIBG berharap dengan sumbangan yang diterima dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan murid pada ibu bapa.
PIBK : SUMBANGAN 30 KOTAK AIR OLEH KONSORTIUM ABASS SDN BHD

3hb Mac 2016  - Untuk tahun ke 2 berturut-turut, Konsortium ABASS telah sudi menyumbangkan 30 kotak air alkaline (24 botol 350ml per kotak) untuk kegunaan pihak PIBG SKIB dan Sekolah dalam aktiviti serta program yang telah dirancang sepanjang tahun 2016.


Yang DiPertua, En Zaifulsham Ahmad Zakaria telah menerima sumbangan tersebut bagi pihak PIBG dan Sekolah SK Intan Baiduri.
ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG 2015
OLEH 
YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN


PROGRAM E-BANDARAYA 
BERSAMA 
YAYASAN BANK RAKYAT 
DAN
PERSATUAN PERMUAFAKATAN IBU BAPA PRIHATIN SENTUL

Dewan Intan Baiduri, 2hb Mac 2016 - Satu majlis ramah mesra bersama Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin Sentul (PIPS) telah dianjurkan oleh PIBG SKIB di Dewan Intan Baiduri SK Intan Baiduri bersama murid-murid tahap 2.


 Objektif penganjuran adalah untuk meraikan  YBR dan PIPS sempena terjalinnya kerjasama dengan PIBG SKIB untuk tahun ke-2 dalam Program e-Bandaraya. Turut dijemput adalah wakil Bank Rakyat cawangan Selayang yang sentiasa membantu PIBG SKIB dalam memudahkan pembukaan akaun Bank Rakyat oleh murid-murid tahun 6 yang ingin menyertai Program e-Bandaraya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Azwadi bin Maktar dan diikuti dengan ucapan alu-aluan dari Guru Besar SKIB, Tn Hj Ahmad Fuad bin Ahmad. Majlis bersambung dengan kata-kata motivasi oleh En Zainoddin bin Ramelan, YDP PIBG SK Sentul 1 merangkap Timbalan Pengerusi PIPS. Puan Zatul Hasanah binti Mohamed Radzhuan, Pengurus Perpustakaan Yayasan Bank Rakyat kemudian memberi kata dua aspirasi YBR untuk meningkatkan kecemerlangan murid.

Program berakhir dengan YBR menyampaikan sumbangan id i-Learn yang berharga RM10,000 untuk 27 murid tahun 6 yang menyertai Program e-Bandaraya pada tahun ini. PIBG SKIB juga turut menyampaikan cenderhati sebagai tanda penghargaan kepada Puan Zatul yang mewakili YBR, En Zainoddin yang mewakili PIPS serta En. Rosli @ Rosdi bin Rashid, Ketua Unit Pembiayaan, Bank Rakyat cawangan Selayang.

 


Turut hadir antara tetamu jemputan adalah Tn Hj Shafiei bin Mohd Nor, Guru Besar SK Sentul 1 yang juga mantan GPK SKIB.


PROGRAM INDUKSI PIBG 2016/2017
HALATUJU 2016 : IBU BAPA dan SUKAN

Bilik Mesyuarat, SK Intan Baiduri, 27hb Februari 2016 - Buat julung kalinya, PIBG telah mengadakan Program Induksi PIBG 2016/2017 sebagai majlis pengenalan kepada ahli Jawatankuasa PIBG yang baru dilantik mengenai maklumat sekolah serta perancangan perjalanan PIBG itu sendiri untuk tahun 2016.

Agenda telah dibahagi kepada berikut :

1. Sarapan Pagi
2. Sesi Ice-Breaking
3. Pengenalan struktur PIBG
4. Orientasi Persekitaran Sekolah
5. Perbincangan program dan bajet setahun
6. Pembahagian tugas AJK
7. Sesi Gambar Rasmi


Secara rumusannya, objektif program telah mencapai matlamat. Dengan perangkaan yang telah dibuat, setiap ahli jawatankuasa telah mendapat gambaran tugas yang perlu dibuat untuk tahun 2016.

Halatuju 2016 yang dirangka adalah :

1. IBU BAPA - Pelibatan ibu bapa perlu dipergiatkan dalam sebarang aktiviti Sekolah, PIBG malahan pendidikan anak-anak mereka sendiri.

2. SUKAN - Pelibatan murid dalam sukan akan dipergiatkan lagi, bukan sahaja dalam aktiviti sekolah malahan PIBG akan cuba merangka program untuk setahun agar murid-murid ini dapat mengasah bakat serta kebolehan mereka. 

Semoga semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung kepada PIBG SKIB dapat membantu kami dalam mencapai objektif kami dalam membantu pihak Sekolah dan murid dalam mencapai kejayaan yang cemerlang.
MAJLIS PERLANTIKAN PENGAWAS SEKOLAH 2016

Dataran SK Intan Baiduri, 26hb Februari 2016 - Satu majlis Perlantikan Pengawas Sekolah telah diadakan pada 26hb Februari 2016 di Dataran SK Intan Baiduri. Perasmian Majlis telah dilakukan oleh Guru Besar SKIB sendiri iaitu Tn Haji Ahmad Fuad bin Ahmad. Turut serta adalah wakil PIBG iaitu Naib Yang DiPertua, En Azamudin bin Zainudin.




 Seramai 151 orang murid telah mengambil bahagian dalam majlis angkat sumpah ini iaitu :

Pengawas Sekolah : 53 orang murid
Briged Bestari : 15 orang murid
Pengawas PSS : 30 orang murid
Pengawas SPBT : 15 orang murid
Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas : 38 orang murid


  

  



PIBG turut memberi sumbangan makanan untuk majlis ini sebagai tanda penghargaan kepada murid-murid yang akan membantu para guru dan sekolah untuk melicinkan pengurusan sepanjang tahun 2016.


  



 Kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada murid-murid yang telah terpilih untuk memikul tanggungjawab ini. Semoga ianya dapat menjadi titik tolak untuk menimba ilmu dan menjadi pemimpin yang HEBAT pada masa hadapan.

Jurufoto : Cikgu Adeline Cheng

Info

Info