Ibu Bapa yang ingin terlibat membantu PIBG dalam Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, boleh mendaftar di Pautan -> Pendaftaran KSIB " ----- " Alumni SKIB digalakkan untuk mendaftarkan diri di Pautan -> Pendaftaran Kelab Alumni " ----- " Sumbangan anda pada Tabung PIBG amat kami hargai untuk melancarkan program yang akan dirancang untuk anak anda jua. Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun PIBG SK Intan Baiduri di Bank CIMB 8000-3887-27 (Resit perlu dihantar ke PIBG untuk pengesahan sumbangan)
PROGRAM JUARA :
PERJUMPAAN IBU BAPA MURID TAHUN 6 YANG CEMERLANG

24 Mei 2017 - Pada hari ini, Perjumpaan Ibu Bapa Murid Tahun 6 yang Cemerlang telah diaturkan oleh Unit Bimbingan & Kaunseling serta Penyelaras Kecemerlangan UPSR di Bilik Bimbingan & Kaunseling.

Pada permulaan, 10 murid, berdasarkan keputusan peperiksaan berkala, telah terpilih dalam program ini dan komitmen ibu bapa untuk kecemerlangan anak mereka telah terbukti dengan kehadiran 100%.

Ucapan alu-aluan dimulakan oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad. Ianya diikuti oleh Guru Bimbingan & Kaunseling, Cikgu Ezalinda Binti Zakaria yang menerangkan tujuan Program Juara ini. 

Seterusnya, YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria pula meyakinkan para ibu bapa bahawa PIBG sentiasa menyokong segala program yang diusahakan oleh pihak sekolah serta berharap para ibu bapa dapat bersama-sama membantu merealisasikan kecemerlangan anak-anak mereka. 

Agenda diakhiri dengan taklimat oleh Penyelaras Kecemerlangan UPSR, Cikgu Rohayati Binti Ghazali akan perjalanan program yang telah dirancang.

Semoga dengan adanya perjumpaan ini, para ibu bapa dapat bersama-sama sekolah dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik.


 

PENCERAPAN AWAM : 
PLANET JUPITER / MUSYTARI OLEH PLANETARIUM NEGARA

20 Mei 2017 - Pada hari ini, Planetarium Negara telah menjemput warga SK Intan Baiduri untuk bersama-sama mengikuti Pencerapan Awam  : Planet Jupiter / Musytari yang diadakan mulai pukul 8.00 malam di perkarangan Planetarium Negara.

Sambutan dari warga SK Intan Baiduri amat menggalakkan dimana hampir 20 keluarga dengan jumlah keseluruhan seramai 80 orang dari kalangan ibu bapa, anak-anak SKIB serta saudara mara telah menyahut seruan PIBG SK Intan Baiduri.

Secara keseluruhannya, ianya mencapai objektif PIBG untuk pendedahan awal kepada anak-anak SKIB akan mata pelajaran Sains serta menggalakkan ibu bapa untuk bersama-sama dalam pendidikan anak-anak. Para hadirin telah diberi peluang melihat planet Jupiter melalui teleskop kanta berkuasa tinggi yang disediakan secara percuma oleh Planetarium. Galeri-galeri planetarium juga dibuka dan banyak ilmu sains negara dapat dipelajari. Klimaks adalah pertunjukan Teater Angkasa secara langsung kedudukan langit serta pembelajaran bintang-bintang yang ada pada malam itu. Ianya diakhiri dengan pertunjukan kaitan antara Bumi, Bulan dan Matahari.

Turut hadir mengetuai rombongan ini adalah YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria serta Ketua Panitia Sains, Cikgu Mayasari @ Idawanie Binti Omar. Sebagai tanda penghargaan, setiap keluarga telah diberikan Kupon Tayangan Percuma untuk lawatan keluarga seterusnya,hasil daripada sumbangan Planetarium Negara.

Terima kasih tak terhingga juga diucapkan kepada Pn Zaimahayati Binti Zainudin, dari Bahagian Pendidikan Sains Angkasa, Planetarium Negara kerana telah sentiasa menyokong pelibatan SK Intan Baiduri dalam program-program planetarium.


 

 

 

 


 




SELAMAT HARI GURU 2017

16 Mei 2017 - Pada hari ini telah berlangsungnya dengan gemilang Sambutan Hari Guru peringkat sekolah SK Intan Baiduri. 

Program yang diaturkan oleh Kelab Kebajikan Guru dan Kakitangan SK Intan Baiduri ini bermula dengan perarakan masuk para pentadbir sekolah, YDP PIBG SK Intan Baiduri serta guru-guru SK Intan Baiduri. Ianya diikuti dengan lafaz ikrar guru serta nyanyian lagu rasmi guru. 

Teks ucapan Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia disampaikan oleh ustaz Mohd Azwadi Bin Maktar manakala teks ucapan Menteri Pendidikan disampaikan oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad.

Seterusnya penyampaian hadiah terima kasih kepada semua guru oleh YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria bagi pihak Jawatankuasa PIBG SK Intan Baiduri. Diikuti oleh persembahan daripada murid-murid serta guru-guru.

Dalam ajarannya ada HARAPAN,
Dalam tegurnya ada DOA,
Dalam marahnya ada SAYANG,
Dalam diamnya ada KEBIJAKSANAAN,
Dalam tangannya ada SAHSIAH TERBINA.

 

 

Bagi pihak PIBG SK Intan Baiduri, kami mengucapkan Selamat Hari Guru kepada kesemua 43 orang guru SK Intan Baiduri yang telah berhempas-pulas membimbing anak-anak kami sehingga mencapai kecemerlangan baik dalam akademik, kokurikulum serta sahsiah. Semoga segala pengorbanan anda diberkati oleh tuhan yang maha esa.

 

Tak lupa juga penyampaian hadiah terima kasih juga diberikan kepada 5 orang kakitangan sekolah kerana secara tidak langsung telah melaksanakan tugas dengan amat baik dalam membantu guru-guru dalam tugasan mereka.


Terima kasih juga diucapkan kepada Bank Rakyat cawangan Selayang kerana turut meraikan guru-guru kami dengan pemberian kek serta door gift. 
PEMASANGAN BUNTING SEMPENA 
PERAYAAN HARI GURU SK INTAN BAIDURI 2017

14 Mei 2017 - PIBG SK Intan Baiduri ingin mengucapkan terima kasih kepada para alumni yang diketuai oleh saudara Harith Hud Bin Mohd Amin kerana telah membantu untuk memasang 7 bunting sempena Sambutan Hari Guru SK Intan Baiduri 2017 yang akan berlangsung pada 16 Mei 2017.

Semoga dengan adanya bunting ini, akan memberi kesedaran kepada ibu bapa / penjaga / murid akan sambutan yang diadakan tidak lama lagi.

SELAMAT HARI GURU



 

 

 

 

MAJLIS JAMUAN PENGHARGAAN SUKARELAWAN KARNIVAL STREAM 2017

14 Mei 2017 - Pada petang ini telah berlangsung satu pertemuan santai antara Ahli Jawatankuasa dengan sukarelawan Karnival STREAM 2017. 

Ahli Jawatankuasa yang hadir adalah En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, En Mohammad Ikram Bin Aziz dan En Mohd Halimi Bin Dalep. Turut hadir adalah Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad.

Manakala sukarelawan yang hadir adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 40 alumni dan komuniti yang telah membantu melancarkan program karnival tersebut.

Aturcara dimulakan dengan ucapan terima kasih daripada Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad. Beliau memaklumkan bahawa pelibatan alumni yang lebih aktif pada tahun ini telah menarik perhatian dan mendapat pujian daripada Pegawai Angkat Sekolah SK Intan Baiduri sendiri. Ianya mencapai matlamat sekolah untuk menjalinkan hubungan alumni dengan sekolah agar bekas-bekas murid tidak malu-malu untuk kembali membantu sekolah dalam apa-apa bidang dan program.

Seterusnya, Yang Di Pertua PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria, selaku Pengerusi Karnival STREAM 2017 juga mengucapkan terima kasih kepada alumni kerana telah banyak membantu sehinggakan sanggup datang membantu seminggu lebih awal dari tarikh karnival. Maklumbalas guru-guru SK Intan Baiduri juga adalah positif kerana dengan adanya sukarelawan, mereka dapat meluangkan masa untuk merasai sendiri suasana karnival yang berlangsung. Beliau juga mencadangkan, untuk kesinambungan ukhwah ini, insyaallah satu program pertandingan akan dirancang pada penghujung tahun dengan pelibatan antara alumni, guru-guru dan ibu bapa.

Terakhir sekali, wakil alumni, saudara Harith Hud Bin Mohd Amin telah menyampaikan ucapan terima kasih bagi pihak rakan-rakan dan semoga sekolah serta PIBG akan sentiasa menjemput para alumni untuk menyertai program-program yang akan datang.  

Aturcara berakhir dengan penyampaian sijil penghargaan dan saguhati oleh En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria kepada sukarelawan yang hadir.

 

 

 

 

 


PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2017 :
SEMINAR DIDIK RAKYAT

13 Mei 2017 - Pada hari ini, PIBG SK Intan Baiduri telah menghantar sejumlah 32 anak-anak tahun 6 SK Intan Baiduri untuk menghadiri Seminar Didik Rakyat oleh Berita Harian di Menara Berkembar Bank Rakyat, Brickfield.

Program sehari ini adalah dibawah tajaan Yayasan Bank Rakyat dan Bank Rakyat. Anak-anak ini diiringi oleh tiga guru pengiring iaitu Pn Rohayati Binti Ghazali, Pn Sharifah Intan Baiduri Binti Syed Mohd Bakhir dan Pn Haliza Binti Muhamat Dawam.

Semoga dengan usaha PIBG SK Intan Baiduri ini dapat dimanafaat sepenuhnya oleh anak-anak SK Intan Baiduri untuk mendapat keputusan UPSR yang cemerlang tahun ini.


 

 

 



PROGRAM NBOS : 
PERMUAFAKATAN IBU BAPA MURID TAHAP 2 SK INTAN BAIDURI
TEMA : ANAK HARAPAN KELUARGA

13 Mei 2017 - Pada pagi ini, buat julung kalinya telah berlangsung program sulung PIBG SK Intan Baiduri yang diadakan di Dewan Komuniti PPR Intan Baiduri. Program turun padang ini adalah anjuran bersama tiga penjuru iaitu PIBG SK Intan Baiduri, Unit Bimbingan & Kaunseling SK Intan Baiduri serta Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri.



Program ini turut disokong oleh Malaysia Crime Prevention Foundation yang diwakili oleh personaliti terkenal, En Kamal Affandi Bin Hashim, Fasilitator dan Penganalisis Jenayah, serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang diwakili oleh En Farid dan pasukannya.

Alhamdulillah, program ini juga mendapat tajaan daripada DBKL dalam bentuk peralatan kerusi-meja serta jamuan peserta.

Program yang bercirikan santai ini dimulakan dengan sarapan pagi oleh peserta yang hadir lebih daripada 50 orang ibu bapa serta anak-anak mereka.  Dengan kelompok kecil sebegini, ianya mencapai salah satu objektif program iaitu mewujudkan suasana yang kondusif untuk para peserta berdialog dengan lebih ramah mesra. Keputusan memilih lokasi program juga amat bertepatan kerana ianya berlatarbelakangkan tasik Intan Baiduri yang mewujudkan ketenangan kepada setiap peserta.

Dialog telah dimulakan dengan mukadimah dari En Kamal Affandi Bin Hashim. Melalui pengalaman beliau, banyak antidote-antidote bagaimana menangani masalah anak-anak serta menghargai nilai seorang anak yang dapat disampaikan beliau kepada peserta. Kemahiran beliau berbahasa Tamil dan Cina juga dapat menyampaikan maksud tersirat kepada para hadirin yang berbilang kaum. Seterusnya dialog diakhiri oleh En Farid yang menyampaikan peranan AADK kepada masyarakat serta bagaimana masyarakat boleh membantu AADK untuk membentuk komuniti yang prihatin.


 

 

 


Seterusnya penyampaian cendermata kepada En Kamal telah disampaikan oleh Guru Besar SK Intan Baiduri, Tn Hj Ahmad Fuad Bin Ahmad, manakala penyampaian cenderamata kepada En Farid telah disampaikan oleh YDP PIBG SK Intan Baiduri, En Zaifulsham Bin Hj Ahmad Zakaria.


 

Walaupun dialog telah tamat, Guru Besar Tn Hj Ahmad Fuad, GPK HEM Pn Sakinah Binti Awang @ Umar serta Guru Bimbingan & Kaunseling, Pn Ezalinda Binti Zakaria telah sempat beramah mesra dan bertukar pendapat dengan para hadirin yang sanggup tunggu.

Bagi pihak pengelola, JUTAAN TERIMA KASIH diucapkan kepada En Kamal Affandi dan En Farid kerana telah menyampaikan pesanan yang bermanafaat serta kepada pasukan AADK yang turut membuat pameran.



JUTAAN TERIMA KASIH juga kepada En Abd Rashid Bin Abd Samad, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Intan Baiduri serta semua AJKnya  kerana telah sudi menganjurkan program ini bersama.


 

 

Info

Info